Kerjasama strategik pusat-Sabah, pastikan hasil pertanian berimpak tinggi
- Suara Keadilan
- 7 hours ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Foad
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperkukuhkan kerjasama strategik dengan kerajaan Sabah dalam melengkapkan perancangan berkaitan sektor pertanian hingga dapat menghasilkan impak yang tinggi.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar di Putrajaya semalam.
"Pertemuan ini membuka ruang perbincangan yang sangat positif berhubung hala tuju sektor pertanian, penternakan, perikanan serta industri makanan, khususnya dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan," kata Mohamad dalam hantaran di media sosial.
Beliau percaya, apabila hubungan kerja antara negeri dan Persekutuan berjalan seiring, saling menyokong dan melengkapi, segala perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, berkesan serta berimpak tinggi.
"Akhirnya, manfaatnya akan kembali kepada rakyat," ujarnya.
Mohamad menekankan keutamaan keraiaan adalah memastikan
petani, penternak dan nelayan akan turut menerima limpahan hasil daripada dasar dan perancangan yang tersusun serta berpaksikan keperluan sebenar di lapangan.
"Insya-Allah, dengan semangat kerjasama ini, Sabah dan seluruh negara akan terus berkembang maju, berdaya saing serta mampan untuk jangka panjang," ujarnya.





