top of page

Kerjasama ekonomi M'sia - Ethiopia diasaskan atas kepercayaan, nilai kemanusiaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 49 minutes ago
  • 2 min read

DS Anwar berucap pada forum perniagaan Malaysia - Ethiopia, semalam
DS Anwar berucap pada forum perniagaan Malaysia - Ethiopia, semalam

Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ethiopia sempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala dilengkapkan dengan pertemuan bersama pelabur dan pemain industri negara itu.


Dalam pertemuan semalam, PM menegaskan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Ethiopia perlu bergerak lebih jauh daripada angka pelaburan semata-mata, sebaliknya berakar pada nilai kemanusiaan, kepercayaan dan rasa saling menghormati.


"Saya berbicara bersama pelabur dan penggerak industri Ethiopia-Malaysia mengenai kerjasama yang lebih berani dan bermakna. Dalam dunia yang sarat dengan ketidaktentuan, kita perlukan rakan yang teguh, jujur, dan saling mendukung. Itu yang saya saksikan di sini, iaitu negara dengan sejarah, semangat dan masa depan yang luar biasa," katanya dalam muat naik di Facebook.


Beliau turut menyentuh hubungan sejarah antara Ethiopia dan dunia Islam, mengingatkan kembali kisah penghijrahan awal umat Islam ke Habsyah yang diterima dengan penuh kasih sayang oleh Raja Najashi.


"Raja Najashi menyambut mereka dengan hati yang terbuka dan melindungi dengan prinsip kemanusiaan dan kasih sayang. Ethiopia membuktikan kepada dunia bahawa kekuatan sebenar sesebuah negara tidak hanya pada kekuasaan, tetapi pada kesanggupan melindungi dan memuliakan insan," ujar Anwar.


Menurut Perdana Menteri, semangat itulah yang dibawanya ke forum perniagaan di Addis Ababa, menekankan bahawa kerjasama ekonomi harus menjadi wahana memperluas persefahaman dan manfaat bersama.


"Kerjasama ekonomi tidak semata angka dan kontrak, tetapi wahana memperluas kepercayaan, empati dan manfaat bersama," jelasnya.


Beliau berkata, Malaysia kini membuka ruang kepada pelaburan dalam bidang teknologi digital, tenaga boleh baharu, pertanian moden, pelaburan hijau serta akses strategik ke rantau ASEAN, sekali gus memberi peluang kepada Ethiopia mengembangkan hubungannya ke Asia Tenggara.


Anwar menzahirkan keyakinan bahawa hubungan dua hala yang dipandu nilai kemanusiaan dan inovasi akan memberi manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara.


"Moga pertemuan hari ini menjadi pemangkin dan pemetaan baharu yang berpaksi pada kemanusiaan, diperkasa melalui inovasi, yang akhirnya menjanjikan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara sahabat," katanya.


Beberapa perjanjian dan memorandum perjanjian dijangka dimeterai antara kedua-dua negara termasuk memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam kesihatan, perjanjian perkhidmatan udara dan MoU mengenai kerjasama dalam pelancongan.


Perjanjian lain termasuk dokumen kolaborasi antara Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur dan Pentadbiran Bandaraya Addis Ababa, yang akan menyelaraskan mekanisme untuk dialog strategik bagi menyediakan ruang kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara.


Untuk rekod, Ethiopia, negara dilingkungi daratan yang paling ramai penduduknya di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023.


Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia bernilai RM446.8 juta, dengan eksport dari Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, meningkat sebanyak 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page