Kerjasama dengan PH cerahkan peluang UMNO kembali dominan – Lokman
- Suara Keadilan

- 33 minutes ago
- 3 min read

Oleh: Helmi Foad
Kerjasama strategik bersama Pakatan Harapan (PH) memberi peluang lebih cerah kepada UMNO untuk bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), sekali gus berpotensi mengembalikan parti itu sebagai kuasa dominan sekiranya mencapai kemenangan signifikan.
Ketua Sekretariat Media Perpaduan, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata keadaan itu sebaliknya tidak akan berlaku sekiranya UMNO bekeriasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang sudah pasti tidak akan membenarkan Barisan Nasional (BN) bertanding di 74 kerusi Parlimen yang dimenangi gabungan pembangkang itu pada pilihan raya umum lalu.
"Kalau kita bertanding, kita berkerjasama dengan PN 74 kerusi yang mereka dah menang kawasan Melayu. Memang kita tak boleh bertanding.
"Tetapi kalau kita bersama dengan PH, kita punya kebarangkalian untuk bertanding. Sekurang kurangnya 85 kerusi tu sangat cerah. Kalau kita menang 50 pun kita mungkin boleh jadi dominan. Mungkin Perdana Menteri lepas ni boleh datang daripada UMNO," kata Lokman dalam rakaman video yang dipetik UMNO Online semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menekankan keperluan ahli parti, khususnya di peringkat akar umbi, memainkan peranan aktif mempertahankan kepimpinan dan naratif parti terutama di media sosial.
Mengulas kenyataan Presiden UMNO mengenai BN akan bergerak secara ‘solo’, Lokman menjelaskan bahawa ia merujuk kepada penggunaan lambang dacing dan bertanding atas tiket BN, bukan bermakna menolak kerjasama politik dengan parti lain.
Katanya, kerjasama dengan PH masih relevan terutama di kawasan bandar dan majoriti bukan Melayu, manakala UMNO dan BN memberi tumpuan kepada kawasan Melayu, pinggir bandar dan luar bandar.
"Menjelang pilihan raya umum ke-16 UMNO dipandang sebelah mata kerana kita hanya memperolehi 26 kerusi dicampur dengan MIC, MCA 30 kerusi.
"Jadi kalau kita nak lihat UMNO kembali dihormati... tidak diperkotak-katikkan oleh parti-parti lain. Kita harus menambah jumlah kerusi...suka tak suka kita kena terima hakikat. Kalau time kita lawan PH pun kita hanya dapat 33% undi Melayu. 3% pun tak sampai undi Cina.
"10% pun tak sampai undi India. Maknanya PRU-16, kalau kita tidak dapat undi India dan Cina, kita tak akan dapat menambah kerusi dengan banyak. Kalau kita dah buat keputusan parti dah buat keputusan bersama dengan PH. Sudah pastilah kita dah kaji dengan mendalam apa faedah dia," katanya.
Lokman menekankan bahawa realiti politik semasa, tiada parti mampu menang secara solo tanpa bekerjasama dengan parti-parti lain.
"Mintalah kawan kawan jangan hanya fikir tentang soal kita. Tanpa mengira kekuatan kita. Kalau kita kuat, kita boleh sembang soal nak bertanding solo tanpa kerjasama dengan parti parti lain.
"Tetapi realiti politik sebenar dalam negara ni tak ada satu parti politik pun boleh menang secara solo tanpa kerjasama dengan parti lain," ujarnya.
Dalam pada itu, Lokman menasihatkan ahli UMNO agar menyambut dan menyebarkan segala penjelasan serta dasar yang dibawa kepimpinan parti, bukannya menjadi saluran kepada bahan propaganda pembangkang yang akhirnya merugikan parti sendiri.
"Apabila ada serangan daripada pihak lawan, terdapat dalam kalangan ahli kita yang menyebarkan bahan tersebut dalam kumpulan UMNO.
"Keadaan ini memudahkan kerja pembangkang dan membina persepsi buruk terhadap kepimpinan parti," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa golongan Pemuda UMNO, walaupun bersifat lantang, mereka perlu berfikir secara matang dan menilai setiap tindakan secara rasional, bukan berasaskan emosi semata-mata, demi memastikan kelangsungan dan masa depan parti.
"Penting dari segi soal kesetiaan sehaluan dengan kepimpinan parti dan kena berfikir secara matang sebelum membuat sesuatu tindakan.
"Tindakan tidak boleh berasaskan emosi semata mata. Ianya perlu mengambil kira tentang soal masa depan parti. Adakah pendirian kita tindakan kita tingkah laku kita boleh mengukuhkan parti atau boleh merosakkan parti atau memusnahkan," katanya lagi.









Granny Game reminds me of old games where players had to learn from their mistakes instead of being shown every step.