Kerjasama BN-PN: Hanya isu Melayu ketakutan, tiada asas jelas?
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat mempersoalkan sama ada kerjasama dijalin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berteraskan kepentingan rakyat atau sekadar mencari manfaat politik.
Exco AMK Mohd Shafiq Iqram Abdullah (gambar) berkata, BN dan PN tidak boleh mengharapkan rakyat menerima sesuatu naratif tanpa menjawab persoalan dibangkitkan terutama apabila masing-masing penuh dengan kepentingan dan tekanan politik.
"Setiap kerjasama politik perlu mempunyai asas yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan. PN juga perlu menjawab persoalan yang lebih besar.
"Apakah tawaran mereka kepada rakyat untuk membawa negara ke hadapan selain terus memainkan sentimen dan membahagikan masyarakat kepada kelompok “kami” dan “mereka”?" soalnya.
Mohd Shafiq menegaskan bahawa isu berkaitan orang Melayu tidak patut terus dimanipulasi sebagai modal politik apabila berdepan pilihanraya.
Beliau turut menjelaskan bahawa politik yang sentiasa mencetuskan permusuhan kaum mungkin berkesan membakar semangat penyokong, tetapi tidak akan menyelesaikan masalah rakyat.
"Orang Melayu, seperti seluruh rakyat Malaysia, mahukan kehidupan yang lebih baik, peluang ekonomi lebih luas, pendidikan berkualiti dan masa depan yang lebih terjamin.
"Rakyat tidak dikhianati kerana parti politik memilih berbincang atau bekerjasama. Rakyat dikhianati apabila kepentingan mereka diketepikan demi percaturan politik yang tidak membawa penyelesaian kepada kehidupan mereka," tambahnya.
Sementara itu beliau menegaskan, setiap parti boleh terus bersaing dalam pilihanraya dan mempertahankan prinsip masing-masing, namun pada masa sama perlu bersedia berbincang demi mencari titik persamaan apabila melibatkan kepentingan rakyat serta kestabilan negara.
"Pakatan Harapan (PH) percaya persaingan politik dan kematangan politik mampu berjalan seiring dengan setiap parti mempertahan prinsip masing-masing.
"BN dan PN perlu menjawab persoalan rakyat mengenai asas dan hala tuju politik mereka. PH pula akan terus menawarkan pendekatan yang berprinsip, terbuka dan berpaksikan kepentingan rakyat," katanya.




Comments