Kerja tanah KB Sentral: KEADILAN Kota Bharu persoal kenaikan kos RM14 juta
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 2 min read

Peningkatan mendadak kos kerja tanah projek pembinaan Terminal Stesen Bas Kota Bharu Sentral (KB Sentral) yang dilaporkan meningkat sehingga 75 peratus menimbulkan tanda tanya kepada KEADILAN Cabang Kota Bharu, Kelantan.
Ketua Penerangannya, Syahiran Muhammad berkata, pihaknya telah meneliti pelbagai laporan media susulan pengesahan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Fadzli Hassan bahawa kos kerja tanah projek berkenaan meningkat daripada minimum RM8 juta kepada RM14 juta.
"Kenaikan daripada minimum RM8 juta kepada RM14 juta merupakan jumlah kenaikan yang boleh dianggap mengejutkan, walaupun beliau memberitahu tujuan kos (kerja) tanah bertambah dengan tujuan memperkukuhkan tanah agar stabil dan kukuh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, selain itu, KEADILAN Kota Bharu juga mempersoalkan keputusan menyerahkan projek KB Sentral tersebut kepada syarikat China Harbour Engineering Company (CHEC) Construction sebagai kontraktor utama, dan bukannya melibatkan anak syarikat Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan pembinaan.

"Apabila projek KB Sentral diserahkan kepada China Harbour Engineering Company Construction sebagai kontraktor utama, dan bukannya anak syarikat Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan pembinaan, seolah-olah Kerajaan Negeri sendiri tidak yakin dengan keupayaan anak syarikatnya," ujar beliau.
Syahiran menegaskan, ketiadaan penetapan kuota pekerja aras sederhana tinggi dan tinggi dalam projek berkenaan menunjukkan peluang pekerjaan kepada anak Kelantan, khususnya tenaga mahir tempatan, tidak diberikan perhatian yang wajar.
"Tanpa kuota pekerja anak negeri, maka ini bukti jelas Kerajaan Negeri tidak memikirkan peluang pekerjaan buruh kelas tinggi dalam kalangan rakyat Kelantan."
Sehubungan itu, beliau menyarankan Kerajaan Negeri meneliti semula perjanjian berkaitan projek KB Sentral dengan memasukkan peranan lebih bermakna anak syarikat Kerajaan Negeri,
"Kami sarankan Kerajaan Negeri merujuk kembali perjanjian berkaitan KB Sentral dengan memasukkan anak syarikat Kerajaan Negeri bukan sekadar rakan strategik atau "tumpang lesen", sebaliknya mengusahakan agar ditetapkan kuota untuk pekerja kelas sederhana tinggi dan kelas tinggi, sebagai langkah membuka peluang pekerjaan kepada anak Kelantan yang berkemahiran," katanya lagi.
Beliau berharap cadangan tersebut dapat memberi manfaat kepada anak Kelantan yang mempunyai kepakaran dan kemahiran tertentu untuk berkhidmat serta menyumbang kepada pembangunan negeri yang dicintai itu.





