Kerajaan wajar perkenal program TVET majukan pelajar institusi pondok
- Suara Keadilan

- Aug 13
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan Madani yang dilihat bersungguh sungguh ingin membantu institusi pengajian pondok di Kelantan melalui usaha berterusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, wajar mempertimbangkan cadangan memperkenalkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Tahfiz kepada para penuntut di sekolah pondok.
Menurut Penyelaras DUN Sungai Kandis, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni, program TVET Tahfiz telah pun diperkenalkan di sekolah hafiz al Quran dan selayaknya pondok pengajian juga diperkenalkan kursus sama bagi memudahkan lepasannya menyambung pengajian dalam bidang teknikal atau memudahkan mereka bekerja berbekalkan Sijil Kemahiran Malaysia.
"'Soft skill' atau 'hard skill' kini mempunyai pasaran yang luas, dan pelajar-pelajar tahfiz (pondok) pula tidak semuanya mampu menghafaz al-Quran sepenuhnya.

"Mungkin mereka perlukan juga nilai tambah dalam pembelajaran supaya apabila tamat pengajian nanti, mereka boleh masuk dalam pasaran kerja dan mendapat pendapatan yang lebih baik.
"Saya lihat TVET hari ini bukan lagi terhad kepada bidang seperti automobil atau kemahiran tangan semata-mata. Ia kini merangkumi sektor-sektor lain seperti pertanian.
"Pelajar boleh memilih jenis TVET yang sesuai dengan persekitaran dan potensi kawasan sekolah mereka, supaya mereka boleh memasuki pasaran kerja dan mempunyai nilai tambah dalam pendidikan," katanya yang juga mantan Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor.
Mengulas mengenai kejayaan PM membawa semangat Malaysia MADANI ke Kelantan, susulan laporan kenyataan Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah yang berpandangan meskipun terdapat perbezaan antara pentadbiran negeri dan Persekutuan, namun kerjasama dijalin dalam aspek pengurusan sekolah agama, Ustaz Zawawi berkata hal itu merupakan keistimewaan Anwar yang berlatarbelakangkan gerakan Islam pada waktu mudanya.
PM menurut beliau, benar benar mempraktikkan akhlak pemerintah Islam apabila memberi perhatian serius terhadap usaha memastikan pendidikan sempurna dapat disalurkan kepada anak-anak di Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Pondok meskipun dikendalikan oleh Pas.
''PM Anwar tidak mahu budak-budak sekolah pondok ini tertinggal jauh. Bantuan-bantuan dan juga program baik pulih sekolah merupakan inisiatif yang sangat baik.
''Inilah nilai kesejahteraan, kemampanan, yang cuba diterapkan oleh PM Anwar dalam sistem pendidikan di negara ini.
''Saya kira prinsip-prinisip MADANI telah dapat diterapkan dengan baik dalam institusi pendidikan,'' katanya yang juga mantan Exco Agama Islam Selangor.
Untuk rekod, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah dalam ucapannya dalam majlis bersama PM baru baru ini, berkata telah wujud satu 'sunnah' baharu walaupun Kelantan diperintah pembangkang namun kerajaan pusat boleh kerjasama dalam hal hal sekolah agama yang belum pernah dilakukan oleh kerajaan sebelumnya.









Comments