Perdana Menteri menyeru Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian (KPT) memberi lebih keutamaan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara bermula awal tahun depan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, supaya aspek itu diberi penekanan, selain isu prasarana di sekolah.
"Selain menyelesaikan hal asas berkaitan prasarana sekolah, tumpuan kita nak tingkat dan angkat mutu pendidikan.
"Perkara ini, saya dah bercakap kepada Menteri KPM dan KPT. Minta bantuan, kita bantu. Tahun ini lebih baik, tapi prestasi murid-murid tak berubah, kita tak boleh terima. Jadi, ini yang saya mahu tekankan mengenai mutu pendidikan.
"Fokus sepenuhnya macam mana nak kuasai bahasa, matematik, sains, komputer, pendidikan agama dan semua mata pelajaran perlu diberi tumpuan," katanya dalam perasmian Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, semalam.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut meminta peranan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) juga perlu dimainkan bagi meningkatkan mutu pendidikan.
"Dalam hal PIBG, saya minta selain daripada bincang hal-hal lain, bincang bagaimana hendak galakkan ibu bapa beri perhatian lebih setiap malam. Bagaimana anak-anak tumpu sekurang-kurangnya setengah atau sejam ulang kaji.
"Negara kita tidak boleh terangkat kalau mutu pendidikan kita tidak boleh maju dan meningkat serta berubah. Jadi, saya harap, kita tumpu pembangunan dari segi lain ekonomi tapi untuk sekolah, saya juga akan berusaha (perkasa mutu pendidikan negara)," katanya lagi.
Comments