Kerajaan tingkat usaha bersepadu kekang peningkatan kes denggi


Kerajaan MADANI bakal melaksana langkah proaktif serta menyeluruh bagi membendung peningkatan kes denggi, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar) berkata, kes demam denggi di seluruh negara meningkat mendadak sebanyak 66 peratus setakat minggu epidemik ke-35 tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Susulan itu, semua kementerian dan agensi berkaitan sedang giat berusaha menangani penularan secara bersepadu.
"Usaha gotong-royong dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk perlu dipertingkat terutama di kawasan zon merah dan lokasi yang dikenal pasti berlaku wabak.
"Pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan program gotong-royong besar-besaran dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Program itu akan disusuli dengan kenyataan daripada pihak KPKT," katanya dipetik laporan media.
Fahmi berkata begitu pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya pada Rabu.
Sementara itu tambah beliau, Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai keberkesanan program pelepasan nyamuk Wolbachia yang berjaya mengurangkan penularan virus denggi di beberapa kawasan termasuk Putrajaya.
Bagaimanapun menurutnya, proses fogging boleh menyebabkan nyamuk Wolbachia turut mati sekali gus menjejaskan usaha pembiakan spesies berkenaan yang berfungsi menghalang penyebaran virus Aedes.
Cuaca panas dan hujan berselang-seli dikenal pasti antara faktor utama yang menggalakkan pembiakan nyamuk Aedes.
Sebanyak 62 kes kematian akibat denggi dilaporkan sehingga minggu epidemiologi ke-35 tahun berbanding 32 kes bagi tempoh sama tahun lalu sekali gus merekodkan peningkatan 93.8 peratus.




Comments