
Keterbatasan pesakit bukan Covid 19 mendapatkan rawatan di hospital yang mana separuh atau kesemua premisnya dijadikan pusat rawatan Covid 19 memerlukan satu pemikiran baharu untuk mewujudkan pusat perubatan khas menangani pandemik berkenaan.
Ahli Parlimen Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH - Kapar) bertanya kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Khairy jamaluddin mungkinkah kerajaan akan memikirkan untuk mewujudkan hospital khusus bagi pesakit Covid.
"Meneliti jawapan Menteri saya yakin menuju ke arah penyelesaian keperluan peralatan itu, sebagaimana telah disediakan oleh pihak kementerian.
"Namun adakah kementerian berhasrat untuk mengadakan hospital kekal khusus untuk Covid dan peralatan yang cukup di setiap negeri, dan diasingkan dengan bukan Covid supaya tidak berlaku jangkitan berganda," katanya dalam perbahasan Dewan Rakyat sesi pagi.
Bagaimanapun, Khairy menegaskan tiada cadangan untuk membuka hospital khusus bagi pesakit Covid. Katanya, konsep sedia ada menetapkan hospital tertentu sebagai tempat rawatan Covid atau secara hibrid, akan dikekalkan.
Hospital khusus pernah dibina di Malaysia dalam menangani wabak kusta suatu ketika dahulu yang terletak di Sungai Buloh, Selangor. Pusat rawatan tersebut ditutup secara rasmi apabila penyakit kusta telah ditemukan kaedah perubatan yang sesuai merawatnya.
Comentarios