Kerajaan teliti isu pekebun kecil, hasil diumum dalam Belanjawan 2027
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan MADANI akan meneliti beberapa isu yang dibangkitkan pekebun kecil termasuk kelayakan diesel, kemudahan jalan ladang, sumber air alternatif serta pertindihan fungsi agensi sebelum keputusan berkaitan diumumkan dalam Belanjawan 2027, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata begitu ketika hadir di Kementerian Perladangan dan Komoditi pagi tadi bagi bertemu warga kementerian serta pekebun kecil untuk mendengar sendiri pandangan, keluhan dan permasalahan yang mereka hadapi.
Beliau berkata sektor perladangan dan komoditi, termasuk pekebun kecil, turut memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kekuatan ekonomi negara susulan pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus pada suku kedua tahun ini.
"Alhamdulillah, ekonomi negara mencatat pertumbuhan 6 peratus pada suku tahun kedua, melangkaui semua unjuran awal.
"Sektor perladangan dan komoditi turut menyumbang kepada kekuatan ini, termasuk para pekebun kecil yang secara keseluruhannya memberikan sumbangan besar kepada ekonomi serta hasil negara," katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurut Anwar, suara pekebun kecil akan terus didengar, khususnya berkaitan pendapatan, peningkatan mutu dan hasil pengeluaran, kemudahan jalan ladang serta keadaan perumahan mereka.
Selepas perhimpunan, Anwar bersama Menteri dan pimpinan kementerian mengadakan pertemuan tertutup dengan wakil pekebun kecil serta pengusaha sektor getah, sawit, koko, lada, kenaf dan perkayuan.
"Dalam sesi khas ini, saya mendengar secara langsung dan tanpa tapisan isu yang mereka hadapi di lapangan," katanya.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk keperluan meningkatkan kelayakan diesel bagi pekebun kecil, akses lebih mudah kepada peruntukan jalan ladang, sumber air alternatif, cadangan memperkukuh perwakilan suara pekebun kecil di Parlimen serta pertindihan fungsi antara Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan RISDA.
Anwar berkata beberapa perkara yang dibangkitkan akan segera dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Kabinet serta pertemuan beliau dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri bulan depan.
"Saya hargai setiap pandangan yang dikemukakan. Beberapa perkara akan segera dibincangkan dalam mesyuarat jemaah Kabinet esok, serta dalam pertemuan saya dengan Menteri Besar serta Ketua Menteri bulan depan," katanya.
Namun beliau mengakui tidak semua cadangan dapat dilaksanakan serta-merta berikutan kekangan semasa, namun kerajaan akan berusaha mencari penyelesaian mengikut kemampuan.
"Mungkin tidak semua dapat dilaksanakan segera kerana kekangan semasa, namun Kerajaan MADANI akan berusaha sebaik mungkin untuk mencari penyelesaian mengikut kemampuan.
"InsyaAllah, sebarang keputusan akan diumumkan dalam Belanjawan 2027," katanya.




Comments