Kerajaan tangguh sistem e-Invois ringankan beban PKMS
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 2 min read

Kerajaan mengambil langkah proaktif menangguhkan pelaksanaan sistem e-Invois selepas mendengar dan memahami keluhan peniaga khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, sistem yang dibangunkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertujuan untuk menambah baik ekosistem percukaian negara namun kerajaan juga sedar perlunya masa untuk peniaga menyesuaikan diri.
Justeru keputusan untuk menangguhkan pelaksanaannya bertujuan untuk memberi masa kepada PMKS membiasakan diri dengan sistem digital baharu secara progresif.
"Sebenarnya yang kita rancang (pelaksanaan sistem e-Invois) bermula 1 Julai depan untuk syarikat yang mempunyai jualan tahunan RM500,000 ke atas.
"Namun kita memahami kebimbangan mereka terutama PMKS dan kita membuat keputusan untuk melaksanakan sistem e-Invois secara berperingkat dan menangguhkan tarikh permulaan bagi beberapa kumpulan," katany dipetik.
Lim berkata begitu kepada pemberita ketika ditemui pada satu acara di Pasar Awam Lebuh Cecil di Georgetown pada Ahad.
Pada 5 Jun lepas, LHDN menerusi satu kenyataan memaklumkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM500,000 dikecualikan daripada pelaksanaan sistem e-Invois buat masa ini.
Manakala pelaksanaan e-Invois bagi pembayar cukai berpendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta ditangguhkan kepada 1 Jan 2026, dan kumpulan berpendapatan sehingga RM1 juta akan bermula pada 1 Julai 2026.
Dalam perkembangan lain, Hui Ying turut menyentuh mengenai pelaksanaan keperluan setem untuk kontrak penggajian antara majikan dan pekerja yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2026.
Beliau berkata, keputusan ini diambil selepas penelitian oleh LHDN dan Kementerian Kewangan bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Setem 1949 dapat dijalankan dengan berhemah dan adil.
"Sebarang kontrak yang dimeterai sebelum 1 Januari 2025 dikecualikan daripada keperluan setem. Namun mulai 1 Januari 2026, ia diwajibkan. Ini adalah sebahagian daripada usaha memperkemas urus tadbir kontrak pekerjaan di negara ini," jelasnya.