
Kerajaan Perpaduan menambah satu hari daripada cuti rasmi Hari Raya Aidilfitri sebanyak dua hari.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam pengumuman khas tengah hari tadi.
Katanya, memandangkan pengumuman berhubung tarikh 1 Syawal 1444H untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri akan dibuat pada Khamis, 20 April 2023 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat untuk membuat perancangan sewajarnya untuk Hari Raya dan pulang ke kampung
halaman.
"Sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Jumaat, 21 April 2023 maka Kerajaan menetapkan hari Isnin, 24 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
"Sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu, 22 April 2023, maka Kerajaan menetapkan hari Jumaat, 21 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan," katanya.
Bagi Sabah dan Sarawak, katanya, Kerajaan Negeri boleh mengisytiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.
Cuti tambahan itu, menurut Anwar, adalah bagi memastikan kebajikan rakyat di bawah Malaysia MADANI sentiasa terbela dalam segenap aspek.