Kerajaan Selangor perkenal pendidikan separa percuma di UIS, Unisel
- Suara Keadilan

- 18 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor memperkenalkan inisiatif pendidikan separa percuma kepada anak negeri itu sebagai sebahagian usahanya memperkasa pembangunan generasi muda.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, menerusi insiatif melibatkan pengajian di Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Selangor (Unisel) itu, pelajar hanya perlu membayar separuh kos pengajian manakala baki selebihnya ditanggung kerajaan negeri.
"Jika kos pengajian sekitar RM30,000 hingga RM38,000, pelajar hanya perlu membayar kira-kira RM15,000 melalui PTPTN, manakala selebihnya ditanggung Kerajaan Negeri," katanya dipetik.
Amirudin ditemui pada program pertemuan bersama aktivis muda dan pemimpin mahasiswa Selangor di kediaman rasmi Menteri Besar di Seksyen 7 di sini, pada Ahad.
Sementara itu menurutnya, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti kira-kira 4,000 pelajar yang bakal menerima manfaat yang dilaksana di kedua-dua institusi pengajian itu.
Kerajaan Negeri jelasnya komited membangunkan potensi generasi muda dengan memberi penekanan kepada aspek pendidikan sebagai kunci memastikan Selangor terus maju pada masa hadapan.




Comments