top of page

Kerajaan Selangor perkasa ekonomi, kesejahteraan komuniti India

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 19
  • 2 min read

DS Amirudin merasmikan majlis sambutan dianjurkan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan
DS Amirudin merasmikan majlis sambutan dianjurkan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan

Kerajaan Negeri Selangor menegaskan komitmen berterusan dalam memperkasa ekonomi dan kesejahteraan komuniti India di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, komitmen itu dizahirkan melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan ekonomi, pendidikan, kebajikan dan pembinaan komuniti yang selaras dengan dasar Kerajaan Negeri untuk memastikan kemakmuran dapat dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.


"Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya berbesar hati dapat meraikan masyarakat India sempena sambutan Hari Deepavali.


"Tema sambutan peringkat negeri tahun ini, ‘Cahaya Perpaduan, Selangor Harmoni’, mencerminkan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh keharmonian serta perpaduan rakyat berbilang kaum," katanya menerusi hantaran di Facebook.


Terdahulu, beliau hadir merasmikan majlis sambutan tersebut yang dianjurkan Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu di Klang pada Jumaat malam.


Menerusi hantaran sama Amirudin berkongsikan beberapa inisiatif yang dilaksanakan khusus bagi memperkasa komuniti India termasuk pelaksanaan Program I-SEED dengan peruntukan RM1 juta kepada 146 usahawan mikro dan kecil, serta Program LIMAS dengan peruntukan hampir RM1 juta kepada 141 pertubuhan kuil bagi kerja baik pulih dan penaiktarafan rumah ibadat.


Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyalurkan Bantuan Yuran IPTA/IPTS sebanyak RM1.2 juta kepada 486 pelajar daripada keluarga B40, manakala Subsidi Tambang Bas SJKT bernilai hampir RM1 juta telah dimanfaatkan oleh 3,000 murid B40.


"Bagi memastikan kebajikan masyarakat terus terbela, sebanyak RM4.43 juta diagihkan melalui Baucar Deepavali dan Bantuan Khas kepada 22,000 penerima termasuk golongan B40, ibu tunggal dan warga emas.


"Tidak ketinggalan, Bantuan Sekolah SJKT turut diberikan dengan peruntukan RM5 juta bagi kerja-kerja baik pulih serta menaik taraf infrastruktur sekolah Tamil di seluruh Selangor. Segala usaha ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan masyarakat India yang menjadi sebahagian penting dalam pembangunan negeri," tambahnya.


Amirudin sementara itu berharap, sambutan Deepavali tahun ini menjadi inspirasi untuk terus menyalakan cahaya perpaduan demi Selangor yang makmur, inklusif dan sejahtera.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page