
Kerajaan negeri menaikkan bantuan skim Bingkas yang sebeum ini dikenali sebagai program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT) kepada RM300 berikutan pandemik Covid 19.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bantuan sebelum ini sebanyak RM200 dianggar tidak mencukupi untuk keperluan keluarga yang terlibat.
Katanya, bantuan itu boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan seperti kopi, gula, tepung dan keperluan sekolah.
"Kerajaan Negeri tambah RM100 supaya penerima dapat tampung keperluan seperti yuran sekolah kerana selepas pandemik, kesannya sangat besar. RM200 yang kita beri sebelum ini mungkin tidak cukup," katanya dalam sesi menggulung perbahasan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.
Beliau turut menjelaskan bilangan penerima inisiatif Kerajaan Negeri turut diperluas kepada 30,000 berbanding 25,000 orang menerusi KISS dan KISS-IT.
Kerajaan Negeri juga, katanya, menyasarkan 30,000 keluarga di Selangor akan menerima manfaat Bingkas dengan peruntukan RM108 juta dan jangkaan 180,000 penerima manfaat.