
Kerajaan Negeri Selangor menyediakan 150,000 dos suntikan vaksin Covid 19 percuma kepada pelajar-pelajar sekolah di negeri itu.
Menurut Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk meluaskan pelaksanaan Selvax atau Program Vaksinasi Selangor untuk memberi vaksin kepada pelajar atau remaja berumur antara 12 dan 17 tahun di bawah program Selvax Remaja.
"Program ini disasarkan ke sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam (Jais), maahad tahfiz, sekolah rendah agama untuk pelajar darjah 6, sekolah rendah kebangsaan Cina dan Tamil.
"Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jais, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Agama Islam juga Pejabat DUN bagi memastikan kelancaran program ini," katanya dalam sidang media petang tadi.
Jelas MB, dengan 150,000 dos berkenaan Kerajaan Negeri akan melengkapkan sasaran kita untuk Selvax Komuniti secara percuma dengan anggaran 500,000 dos.
"Kita telah menyelesaikan 300,000 dos. Ada baki 200,000 dos untuk 6,000 orang dan Selvax akan bergerak ke seluruh negeri Selangor (bagi melengkapkan suntikan kepada penerima vaksin).
"Ini adalah program tambahan oleh pihak Kerajaan Negeri, hampir sama dengan program Selvax yang lepas cuma kali ini kepada anak muda," katanya lagi.
留言