Kerajaan rangka strategi bangunkan industri jagung bijian
- Suara Keadilan
- Jun 17
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Perpaduan bakal merangka strategi berkesan untuk membangunkan industri jagung bijian tempatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah membangunkan ekosistem bahan utama dalam sektor ternakan negara itu disifatkan sebagai pendekatan penting untuk merangsang pembangunan sektor agromakanan negara, meningkatkan peluang ekonomi luar bandar serta memperkukuh daya tahan sistem makanan negara.
Hal itu juga usaha bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import komoditi berkenaan.
"Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bil 1/2025 yang saya pengerusikan bersetuju agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merangka strategi pembangunan industri jagung bijian tempatan," kata beliau menerusi hantaran Facebook.
Mesyuarat tersebut yang diadakan pada Isnin turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Ia turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Mesyuarat antara lain meneliti pelbagai program dan strategi bagi meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging negara, sebagai usaha memperkukuh sektor ternakan supaya kekal mampan dan berdaya saing, seterusnya menjamin keselamatan makanan negara untuk generasi masa depan.
Sementara itu Perdana Menteri juga berkata mesyuarat turut bersetuju untuk mengintegrasikan pangkalan data Malaysian Food Composition Database (MyFCD) sebagai komponen strategik dalam Dasar Keterjaminan Makanan Negara.
"Inisiatif ini dilihat sebagai langkah kritikal dalam memperkasakan kesedaran rakyat terhadap amalan pemakanan sihat ke arah membina masyarakat yang sihat dan produktif," tambahnya.
Comments