top of page

Kerajaan PN salah langkah banyak isu, tiba masa PM Muhyiddin berundur - Anwar



Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melakukan salah langkah serius dalam hubungan diplomatik serantau apabila mengibaratkan China sebagai 'abang besar' dalam ucapan Menteri Luarnya Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kelmarin.


Bagi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kecuaian diplomatik itu adalah kemuncak daripada pelbagai salah langkah yang memperlihatkan kerajaan PN amat lemah dalam pemahaman hubungan antara ASEAN dan China.


"Kerajaan PN tampaknya telah tersalah langkah dalam banyak hal penting negara, dan kadarnya terus memuncak naik. Tanpa pengimbangan dari institusi Parlimen dan sikap kebertanggungjawaban pada badan eksekutif, keadaan nampaknya akan terus parah, dan terbaru membawa marabahaya pada kedaulatan negara.


"Komen 'abang besar' Menteri Luar pada hari Jumaat yang lalu telah memberi kesan yang bukan kecil pada kebijakan luar negara terkait hubungan Malaysia dan Republik Rakyat China. Pemerintah hari ini secara tidak langsung telah memberi mesej yang jelas pada dunia luar bahawa Malaysia bukan lagi negara berkecuali.


"Percubaan Menteri Luar untuk menutup kekeliruan yang timbul menampakkan kabinet PN ini mempunyai pemahaman yang lemah terkait diplomasi, strategi, politik ASEAN dan juga China," kata Anwar dalam satu kenyataan.


Menurut Pengerusi Pakatan Harapan itu lagi, kelemahan kerajaan PN yang tiada keabsahan mungkin akan digunakan oleh pihak asing untuk mendapatkan keuntungan kepada pihak mereka dalam konteks politik dan ekonomi Malaysia.


"Dunia tahu bahawa kerajaan hari ini tidak ada keabsahan demokratik untuk memerintah. Negara-negara sekutu mahupun seteru, baik para diplomat atau pun pemuka-pemuka korporat, mungkin sedang mencuba menggunakan kelemahan pemerintah hari ini sebagai kesempatan untuk mendapatkan keuntungan dalam keterlibatan mereka dengan Malaysia. Hal ini mampu memberi kesan yang mendalam pada kedudukan diplomatik Malaysia, ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.


"Sistem demokratik di Malaysia menggunapakai sistem Westminster. Justeru, Perdana Menteri yang telah hilang majoriti harus segera berundur dan serahkan sepenuhnya pada proses Perlembagaan.


"Sebaliknya, Perdana Menteri hari ini telah menyalahguna Pengisytiharan Darurat, dan dalam masa yang sama terus merencana untuk berpaut pada kuasa," katanya.


Sehubungan itu, Anwar mengingatkan keadaan PN yang terumbang ambing itu amat membimbangkan dan segala keputusan yang dibuat hanya untuk menjamin kelangsungan kuasa.


Katanya, ia berpotensi akan mengorbankan kepentingan, keselamatan dan kedaulatan negara.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page