Kerajaan PN lembab tangani kelemahan pengajaran dan pembelajaran di rumah?



Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak wajar membiarkan kelemahan dan kekurangan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berterusan.


Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pendekatan alternatif perlu dicari bagi menyelamatkan pelajar-pelajar khususnya di luar bandar daripada terus keciciran berikutan penutupan sekolah akibat pandemik Covid 19 yang dijangka berlanjutan sehingga hujung tahun ini.


"Meskipun PdPR boleh dilaksanakan di luar talian melalui TV Pendidikan dan bahan bercetak, namun pelbagai pihak mempersoalkan kelewatan kerajaan dalam menangani perkara tersebut sehingga boleh menjejaskan tahap kualiti pendidikan dan melebarkan jurang pendidikan antara pelajar.


"Korban daripada guru dan ibu bapa ditagih tetapi apakah status pemberian 150,000 komputer riba kepada 150,000 murid terpilih di 500 sekolah yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 bernilai RM150 juta itu?


"Apakah status peningkatan liputan dan kualiti perkhidmatan yang dijanjikan oleh Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (KKMM) tahun lepas?

"Apakah status penyediaan empat penyelesaian teknologi terdiri daripada jalur lebar mudah alih, jalur lebar talian tetap, akses talian tetap tanpa wayar dan jalur lebar satelit bagi memastikan rakyat mempunyai capaian internet lebih mudah?" tanyanya dalam satu kenyataan.


Syed Ibrahim yang juga Jurucakap Digital, Telekomunikasi dan Pengangkutan KEADILAN turut bertanyakan apakah status terkini projek quick win (segera) yang kebanyakannya disasar untuk dilaksanakan tahun lepas.


Katanya, tujuan projek berkenaan ialah membina 940 tapak menara baharu di kawasan bandar dan pinggir bandar bagi menambah baik kualiti dan liputan dalam bangunan serta menaik taraf 4,589 stesen pangkalan 2G/3G sedia ada kepada 4G bagi meluaskan liputan 4G dan meningkatkan kelajuan.


Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan apakah kemudahan 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) yang terdapat di seluruh negara telah dimanfaatkan oleh pelajar yang menghadapi kesukaran mendapat liputan Internet?


Apakah kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan dengan SOP yang tertentu dalam keadaan PKP supaya menjadi saluran alternatif kepada pendidikan atas talian?


"Sementara itu, pelbagai pihak telah tampil secara sukarela membantu meringankan beban ibu bapa dan pelajar, khususnya mereka yang kurang mampu dengan mendapatkan bekalan komputer riba baru atau terpakai, tablet dan telefon pintar. Ia suatu tindakan yang mulia tetapi tanggungjawab masih terletak di bahu kerajaan.


"Justeru, selain daripada tanggungjawab Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi, saya berpendapat Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga mempunyai peranan yang besar dalam kaedah PdPR atas talian ini," katanya.


Selain itu, Syed Ibrahim juga tertarik untuk membangkitkan kembali isu yang pernah beliau bawa dalam Dewan Rakyat pada sidang yang lepas, iaitu kesukaran capaian kepada internet yang kini kembali menjadi perhatian apabila sesi PdPR bermula pada bulan Januari.


"Dalam laporan Berita Harian bertarikh 20 Januari 2021, akibat capaian internet yang lemah di Segamat, sekumpulan pelajar termasuk mahasiswa terpaksa mengikuti pembelajaran atas talian dalam kebun kelapa sawit.


"Laporan Harian Metro bertarikh 22 Januari 2021 menceritakan kepayahan pelajar di Nibong Tebal yang terpaksa “merayau-rayau” dan menggunakan lebih daripada satu telefon pintar untuk belajar secara atas talian.


"Lebih mengesankan hati, seperti yang tular baru-baru ini terkait kisah kesusahan adik Amru Umair untuk menyertai “Google Meet” di Ladang Sawit bagi mendapatkan talian internet. Demi menyertai kelas atas talian, adik Amru Umair bersama ayahnya terpaksa menunggang motosikal sejauh satu kilometer ke dalam ladang sawit di Sandakan.

"Berita-berita ini tidak mengejutkan, bahkan menyedihkan. Walaupun dalam keadaan negara yang tidak stabil, pendidikan harus diteruskan. Ekosistem pendidikan harus terus berfungsi.


"Atas sebab ini, saya menggesa Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (KKMM) untuk lebih proaktif memainkan peranan dalam isu ini terutama dalam meringankan beban rakyat yang mahukan pendidikan berkualiti untuk anak-anak mereka," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio