Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dituntut menyatakan pendirian rasmi di tengah-tengah proses normalisasi Israel yang cuba bersahabat dengan beberapa negara-negara Islam di rantau Arab malah Asia Tenggara.
Menurut Ketua Wanita Amanah, Senator Aiman Athirah al Jundi, Malaysia seharusnya mengambil pendirian selari dengan Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama, perjanjian perdagangan dan normalisasi bersama rajim Zionis Israel.
Katanya, negara ini sebaliknya harus memperbanyakkan hubungan dagang dengan Palestin dan negara-negara yang bersekutu dengan wilayah dijajah tersebut.
"Kami mengambil maklum akan hasrat regim Zionis yang menyatakan secara terbuka mereka sedang mengusahakan kerjasama perdagangan dengan negara-negara majoriti umat Islam di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Justeru, pendirian Kerajaan Malaysia terhadap isu ini adalah dituntut segera.
"Menjalinkan kerjasama dan pakatan perdagangan bersama regim Israel seolah-olah kita meredai jenayah, kezaliman dan penjajahan yang dilakukan ke atas penduduk dan kedaulatan Palestin.
"Sebaliknya, Malaysia harus mempertingkatkan lagi hubungan perdagangan dua hala dengan Palestin. Berdasarkan rekod, secara purata nilai import Palestin dari Malaysia hanya kira-kira RM1.8 juta setahun, justeru adalah tepat dan wajar sekiranya Malaysia mengambil langkah segera memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia-Palestin bagi merancakkan perdagangan dua hala dengan tarif perdagangan yang bersesuaian," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Aiman lagi, sekiranya Malaysia mengambil langkah berani menolak hubungan perdagangan atau apa jua bentuk normalisasi dengan rejim Zionis, bukan bermakna negara ini bersifat anti semitik atau anti Yahudi, tetapi konsisten dengan dasar luar negara yang selama ini tidak mengiktiraf entiti haram Israel.
"Agenda normalisasi hakikatnya agenda halus, sulit dan licik ke arah memperkukuhkan kedudukan regim haram Israel, sekaligus percubaan mereka mendapatkan pengiktirafan dunia Islam terhadap kedaulatan entiti haram Zionis samada di peringkat serantau atau antarabangsa.
"Bersetuju dan bersekongkol menjayakan agenda halus itu samalah seperti memberikan jaminan keselamatan terhadap penjajah dan penjenayah kejam untuk mereka memperluaskan kuasa penjajahan ke atas negara-negara dan umat Islam melalui strategi ekonomi dan diplomatik
"Apa sahaja yang dinamakan perjanjian damai, persepakatan, "deal of century" dan normalisasi bersama Israel adalah jenayah besar mencakupi jenayah terhadap hak-hak Allah dan RasulNya, jenayah terhadap hak bumi dan rakyat Palestin, jenayah terhadap hak ummah dan hak para syuhada sepanjang sejarah sejak zaman Umar Al-Khattab yang bertanggungjawab membukanya, zaman pembebasan Masjidil Aqsa oleh Solahudin Al-Ayubi dan terhadap kebangkitan rakyat Palestin sepanjang zaman," katanya lagi.
Sehubungan itu, Aiman menegaskan bumi Palestin adalah hak milik orang Palestin dan umat Islam semenjak ribuan tahun lalu. Sehinggalah ke era penjajahan British yang bertanggungjawab membawa masuk pendatang-pendatang Yahudi dan akhirnya membawa malapetaka besar terhadap penduduk asal Palestin.
Katanya, segala kekejaman itu adalah hasil pengkhianatan kuasa-kuasa besar dunia ke atas rakyat Palestin melalui pelbagai perjanjian sulit, halus dan licik.
Dunia dan umat Islam khususnya wajib mengambil iktibar daripada sejarah pengkhianatan tersebut dengan menghentikan kezaliman dan pengkhianatan ke atas rakyat Palestin, Masjidil Aqsa dan Al Quds.
Bình luận