Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membuktikan kemampuan untuk bersatu dan fokus kepada rakyat.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, meskipun sepanjang tempoh 2023 pelbagai cerita rekaan dan mitos cuba dimainkan pihak tertentu termasuk kononnya Kerajaan Madani tidak akan stabil serta bergaduh sesama sendiri.
Namun atas kekuatan serta kestabilan daripada kesepaduan itu jelasnya, Kerajaan Madani berjaya merangka lima dasar yang cukup bersejarah untuk rakyat dan negara pada tahun 2023.
"Ia termasuk rangka Ekonomi Madani yang telah menaikkan ekonomi negara dan rakyat selain Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) yang berupaya menarik pelaburan serta meningkatkan peluang pekerjaan baharu bergaji tinggi dengan fokus ditumpukan kepada industri penting.
"Pada masa sama, kerajaan mengkaji semula gaji penjawat awam dan usaha ini dilakukan untuk meningkatkan lagi produktiviti penjawat awam. Selain itu, kerajaan berusaha meningkatkan gaji pekerja swasta seluruh Malaysia menerusi pengenalan Dasar Gaji Progresif.
"Pada 2023, kerajaan turut memperkenal Dasar Peralihan Tenaga berikutan terdapat keperluan mendesak untuk negara beralih ke sumber tenaga baharu,” kata jurucakap kerajaan itu melalui satu hantaran di laman Facebooknya malam tadi.
Melalui hantaran itu juga, Fahmi menyatakan harapan agar permulaan yang baik untuk Kerajaan Madani pada 2023 dapat diteruskan sepanjang tahun 2024.
Comments