![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_994f2e24201b4b81972efe07fa753f86~mv2.jpg/v1/fill/w_660,h_439,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_994f2e24201b4b81972efe07fa753f86~mv2.jpg)
Kejayaan penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) disifatkan telah membuka lembaran baharu lanskap politik negara di bawah Gagasan Malaysia MADANI.
Mengulas perkara berkenaan, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin yakin pertembungan parti-parti politik lebih dua dekad lalu kini telah mencapai titik pertemuan sebagaimana didambakan rakyat Malaysia sejak lebih 25 tahun lalu.
"Hari ini mencatat sejarah kepada lanskap politik negara, di mana parti politik yang bertembung lebih dua dekad telah membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), malah senada menghadiri Konvesyen Nasional Kerajaan Perpaduan pertama di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
"Saya yakin titik pertemuan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan inilah yang rakyat Malaysia inginkan sejak 25 tahun lalu," katanya.
Tambah beliau, pencapaian luar biasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatukan parti parti politik dalam satu gagasan Kerajaan Perpaduan akan mampu memberi keyakinan kepada pelabur asing yang berhasrat menanam modal di negara ini.
"Saya yakin dengan karisma dan kesungguhan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatukan dan mengarus perdanakan semua 19 parti politik bersama Malaysia MADANI selain membasmi rasuah dilihat memberi keyakinan buat pelabur untuk menambah komitmen mereka di negara kita," katanya.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Bandar Tun Razak menyeru agar kejayaan penganjuran konvensyen tersebut diterjemahkan kepada kemenangan Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan sekitar Julai ini.
![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_37ad35eb1cb94023b1bfcbb07529c2d7~mv2.jpg/v1/fill/w_660,h_427,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_37ad35eb1cb94023b1bfcbb07529c2d7~mv2.jpg)
Sementara itu, Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai senada dengan Azman yang mahu Kerajaan Perpaduan diperkukuh demi kesejahteraan rakyat di seluruh negara.
"Kepimpinan Perdana Menteri jelas menetapkan hala tuju Kerajaan Perpaduan bukan sekadar sepenggal malah diyakini mampu membawa Malaysia kembali garang di pentas antarabangsa.
"Peranan besar Datuk Seri Anwar yang mengutarakan isu kemanusiaan dan ekonomi global pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia sudah cukup membuktikan suara beliau dan negara mula didengari negara asing yang kini melihat Malaysia mampu memacu ekonomi serantau dan dunia menerusi kerangka yang telah digariskan," katanya yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju.
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang pertama tersebut mencipta sejarah apabila pergerakan Pemuda, Wanita dan ketua ketua parti komponen menandatangani ikrar untuk meningkatkan kerjasama sebagai satu pasukan pemerintah Malaysia.
Meski pun Kerajaan Perpaduan tidak didaftarkan sebagai satu gabungan sebagaimana PH atau BN namun dengan ikrar kerjasama mendalam tersebut dijangkakan fungsinya selepas ini tidak jauh berbeza dengan gabungan parti parti.
Comments