Kerajaan perlu sediakan dana tangani masalah kesihatan mental - Anwar

Updated: Oct 11



Masalah kesihatan mental antara lapangan yang amat kurang diberi tumpuan dan juga pendanaan awam.


Bagaimanapun, menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim masalah itu tidak boleh dikesampingkan, terutama dalam suasana pandemik Covid 19.


Apatahlagi, katanya dapatan menunjukkan 44% warga Malaysia terkesan dengan masalah kesihatan mental sejak dari permulaan pandemik.


"Apa yang kita hadapi hari ini ternyata suatu yang tidak pernah kita alami sebelumnya, dan dampaknya sangat besar tatkala ia meningkatkan kegelisahan, tekanan dan kesunyian dalam kalangan warga yang terpaksa melalui fasa pengurungan dan sebagainya. Keadaan memburuk tatkala hilang pekerjaan atau sumber pendapatan harian.


"Kanak-kanak juga terdedah dengan gangguan mental sebagai akibat dari sekolah-sekolah yang ditutup, perhubungan yang terhad dengan aktiviti ko-kurikulum dan masa bersama rakan-rakan.


"Juga sebilangan warga yang terpaksa dihadapkan dengan gejala penderaan di rumah dan tekanan akibat terkurung," katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Kesihatan Mental pada hari ini.


Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar menyarankan agar Kerajaan Perikatan Nasional memperuntukkan sejumlah dana yang munasabah bagi membendung gejala tersebut daripada terus memburuk.


"Dalam situasi ekonomi yang meruncing masa kini, kerajaan seharusnya bekerja untuk memastikan dana yang munasabah diperuntukkan dalam membendung gejala ini.


"Pendanaan yang cukup mesti diperuntukkan dalam mendukung mereka yang terkesan dengan masalah mental, termasuk mereka yang di barisan hadapan.


"Jangan kita pinggirkan mereka yang terdedah pada gejala ini, dan stigma mesti ditangani sebaiknya. Mereka tidak harus berasa sunyi. Malah kita mesti tingkatkan semangat kebersamaan dalam mendukung antara satu dengan yang lain dalam suasana krisis," katanya lagi.


Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 disambut pada hari ini. Kempen mengenakan reben hijau dilakukan sebagai simbol kesihatan mental antarabangsa, selain sebagai tanda sokongan bagi kesedaran dan penyebab kesihatan mental serta membantu membina solidariti untuk komuniti itu.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio