Kerajaan perkukuh agenda reformasi, bakal bentang RUU Tribunal Anti-Buli
- Suara Keadilan
- Sep 8
- 1 min read

Kerajaan Perpaduan terus memperkukuh agenda reformasi institusi apabila Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli dijangka dibawa ke sidang Parlimen pada Oktober ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (gambar) berkata, sesi penerangan bersama pihak berkepentingan dijadual selesai bulan ini sebelum kertas cadangan dimuktamadkan.
"Kita harap bulan Sept ini kita boleh selesaikan ‘roadshow’ dan seterusnya boleh mendapat keputusan Kabinet pada hujung September ataupun awal Oktober supaya dapat kita bawa ke persidangan Parlimen untuk bulan Oktober, November dan Disember.
"Saya harap boleh dapat bawa rang undang-undang ini kurang daripada enam bulan," katanya dipetik.
Azalina berkata begitu pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan 2025 Asean Convention On Legal Aid For Children di Desaru Coast Conference Center, di Kota Tinggi malam tadi.
RUU Tribunal Anti-Buli merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Perpaduan bagi mewujudkan mekanisme perlindungan lebih berkesan khususnya melibatkan kes-kes buli.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilapor memberi tempoh enam bulan kepada Azalina untuk membentangkan kertas cadangan berhubung penggubalan RUU berkenaan.
Comments