Kerajaan Perak umum pemberian bantuan khas setengah bulan gaji
- Suara Keadilan
- Dec 23, 2022
- 1 min read

Kerajaan Perpaduan Perak mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan satu setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada penjawat awam di negeri berkenaan.
Pengumumannya dibuat Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dalam Pembentangan Bajet 2023 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak, semalam.
"Turut menerima bantuan khas berkenaan ialah Ex-Officio, semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta Pekerja Sambilan Harian (PSH).
"Bagaimanapun, pemberian ini dikecualikan kepada Menteri Besar dan barisan Exco,” kata beliau.
Sementara itu menurut Saarani lagi, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM2 juta bagi tuntutan bayaran awal gantian cuti rehat kepada yang layak.
Hal itu, katanya, sebagai menghargai komitmen tidak berbelah bahagi ditunjukkan penjawat awam di negeri itu.
Selain itu turut disediakan RM2 juta bagi insentif khas pesara dan RM0.05 juta untuk insentif mengerjakan umrah atau keluar negara.
"Kerajaan Negeri turut mengunjurkan RM100 juta sumbangan terkumpul Badan Berkanun Negeri bagi tempoh 10 tahun mulai 2023 hingga 2032.
"Ini bertujuan mengurangkan kebergantungan perolehan hasil kerajaan negeri yang kini banyak tertumpu kepada hasil cukai,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2023 bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.19 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan pada tahun hadapan.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM395 juta diperuntukan bagi perbelanjaan pembangunan manakala RM794 juta untuk perbelanjaan mengurus.
Ia meningkat sebanyak RM93 juta berbanding tahun 2022.
Comments