Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan akan memantau rapi perkembangan konflik di Timur Tengah susulan serangan peluru berpandu dan dron dilancarkan Iran terhadap negara haram Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melihat kesan konflik itu kepada kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia sekaligus bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara.
"Kerajaan juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Kenyataan itu menyusul usai mesyuarat khas didakan petang semalam bagi membincangkan situasi terkini di Timur Tengah
Mesyuarat dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta pegawai tertinggi kerajaan.
Sementara itu, Anwar menegaskan serangan dilancarkan Iran adalah tindak balas dari serangan biadab Zionis Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini.
Bagaimanapun tegasnya, Malaysia berpendirian semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat.
"Semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau terbabit," katanya.
Dalam pada itu Anwar berkata, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan rakyat Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut tersebut.
"Sekarang adalah ketikanya untuk semua pihak memainkan peranan dalam mendesak menamatkan ketegangan," tambahnya.
Comments