
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyediakan peruntukan sejumlah RM10 juta bagi membantu rakyat di negeri ini yang terkesan dengan penularan Covid-19 termasuk ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.
Beliau berkata, perkara itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini yang dipengerusikan oleh beliau.
“Kerajaan negeri bersetuju untuk menyediakan sejumlah kewangan iaitu sebanyak RM10 juta, bagi memberi bantuan seperti bakul makanan dan perkara-perkara lain yang akan kita perIncikan dalam masa terdekat.
“Ini bagi memastikan bantuan ini dapat diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bagi menghadapi Covid-19 ketika ini,” katanya.
Pada masa sama, Aminuddin Harun berkata semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah pun membuat pemotongan elaun wakil rakyat untuk membantu rakyat.
“ADUN kita lebih awal potong 10 peratus daripada elaun mereka selama enam bulan, kita telah buat lebih awal daripada itu. Jika ada lagi mahu buat pemotongan, kita amat menggalakkan dan akan memaklumkan,” katanya.
Aminuddin ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2021) 2020 (Belanjawan 2021) Negeri Sembilan pada Disember tahu lalu memberitahu, kesemua barisan exco kerajaan negeri bersetuju untuk memotong sebanyak 10 peratus gaji bagi tempoh enam bulan bermula Januari tahun ini untuk disalurkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negeri Sembilan.
Comments