
Berhari raya pada 2022 tidak sama sebagaimana 22 bulan Pakatan Harapan memerintah dengan kejayaan mengekalkan harga barang berpatutan.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Kerajaan Negeri pada waktu ini telah membantu apa yang terdaya bagi mengurangkan penderitaan rakyat berikutan kenaikan harga barang sejak 2 tahun lalu
Katanya, Kerajaan Negeri juga telah memberi bantuan Aidilfitri kepada kakitangan negeri dalam membuat persiapan hari raya.
"Kita bersyukur Ramadan kali ini Kerajaan Kegeri dapat membantu mengurangkan keperitan kenaikan harga barang yang kita hadapi.
"Kita berupaya memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak setengah bulan gaji dan minima RM1000 ke atas penjawat awam Negeri Sembilan. Pertama kali dalam sejarah negeri ini, berkat Ramadan, kita juga dapat memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada 723 penjwat awam persekutuan yang berkhidmat di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.
"Selain itu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan juga telah menaikkan bantuan ke atas asnaf faqir miskin. Bantuan daripada daripada RM250 kepada RM300 hingga RM800, mengikut keperluan dan isi rumah," katanya dalam perutusan Aidilfitri MB N Sembilan hari ini.
Calon Naib Presiden KEADILAN itu juga memuji kejayaan banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sepanjang tahun lalu dan hasil keuntungannya disumbangkan kepada rakyat yang memerlukan.
"Saya bersyukur atas kejayaan syarikat-syarikat GLC negeri seperti Negeri Roadstone dan Gemencheh Granite yang semakin hari semakin membuat keuntungan besar. Sebagai tanda syukur, syarikat ini juga telah mengagihkan sebahagian zakat mereka dalam Ramadan tahun ini .
"Begitu juga dengan MBI Corporation yang telah mengagihkan sebanyak RM1.3 juta membantu fakir miskin di Negeri Sembilan.
"Harapan kita semoga Allah sentiasa memberkati Kerajaan Negeri, MAINS, MBI dan syarikat-syarikat GLC negeri ini. Teruskan menyumbang, berkhidmat dan berbakti dengan ikhlas kerana Allah," katanya lagi.