Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Setiawangsa menyeru Presiden Pas, Hj Hadi Awang membimbing partinya menjadi pembangkang yang berwibawa dan bukan terus mencipta sengketa dengan tuduhan melulu.
Menurut Ketua Penerangannya, Muhammad Azha Salahudin, Hj Hadi dalam artikel disiar lidah rasmi parti tersebut telah memesongkan pentafsiran golongan munafik yang dikaitkan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, isu berkenaan peruntukan Ahli Parlimen dan pembangunan negeri tidak perlu dikelirukan dengan menggunakan hujah al Quran atau hadis kerana perkara tersebut amat jelas dalam undang undang Malaysia
"Dalam artikel yang dikeluarkan, Presiden Pas menyentuh soal peruntukan untuk Ahli Parlimen serta menuduh Kerajaan Perpaduan sengaja menyekat peruntukan Ahli Parlimen pembangkang dan royalti petroleum yang bertujuan untuk melemahkan PN dengan bersandarkan petikan ayat Al Quran dan sirah Nabi Muhammad SAW.
"Tuduhan ini sangat melampau dengan niat memecahbelahkan umat Islam dan Melayu di Malaysia, untuk bersikap selektif terhadap ayat Al Quran dan hadis yang diambil sekiranya berpihak kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pemimpin nombor satu negara, berkali-kali menegaskan Kerajaan Perpaduan terbuka untuk berunding berkenaan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Walaupun peruntukan Ahli Parlimen tidak disebut dalam mana mana undang undang atau Perlembagaan Persekutuan.
"Hakikatnya, PN terus bersikap sombong dan angkuh dengan membuat keputusan tidak mahu berundingan atau berbincang berkenaan soal peruntukan itu seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung Pas sendiri," katanya.
Pada masa sama, Azha turut mengingatkan Ahli Parlimen Marang bahawa wakil rakyat pembangkang pada era pentadbiran PN juga tidak mendapat sebarang peruntukan biarpun pandemik Covid-19 ketika itu melanda negara.
"Rakyat terus menderita dan terkesan semasa Covid-19 menyerang negara dan kerajaan PN terus bertindak zalim dengan menyekat peruntukan Ahli Parlimen PH yang akan digunakan untuk membantu rakyat setempat.
"PH hanya mendapat peruntukan Ahli Parlimen setelah menandatangani perjanjian apabila Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri. Pas sepatutnya mencontohi PH yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim merendahkan ego, berunding dengan wakil kerajaan dan memikirkan tentang soal kebajikan rakyat.
"Namun, Pas dan PN terus bersikap angkuh lagi sombong dengan menjadikan isu peruntukan Ahli Parlimen sebagai modal politik murahan," ujarnya lagi.
Tambah Azha, dakwaan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional itu yang menuduh Kerajaan MADANI mengamalkan demokrasi sebagaimana di Israel dan menyamakan PH dengan PLO, parti politik mentadbir wilayah Tebing Barat Palestin, sebagai kerajaan yang mendapat sokongan minoriti amat merepek kerana situasi di Malaysia berlainan sama sekali.
"Perumpamaan Presiden Pas ini cukup dangkal dan tiada logik. Kita tidak boleh samakan situasi yang berlaku di Palestin dan Malaysia kerana terdapat banyak perbezaan yang sangat ketara dari segi jumlah penduduk, suasana, parti politik, ideologi dan kepelbagaian kaum penduduk di antara dua negara ini.
"Hakikatnya, perbuatan keji ini hanya akan menimbulkan perpecahan dan persengketaan dalam kalangan rakyat serta membantutkan kemajuan serta pembangunan negara," katanya lagi.
Komentar