Kerajaan mesti siasat ketirisan proses pengambilan pekerja asing segera - Abdullah Sani



Proses pengambilan pekerja asing yang didedahkan berlaku ketirisan perlu ditangani secara tegas oleh kerajaan.


Jurucakap Pekerjaan Dan Hak Pekerja KEADILAN, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, dakwaan terbaharu ssebuah agensi berpangkalan di Dhaka bahawa pengasas syarikat pekerja asing Malaysia, Bestinet telah mempengaruhi kerajaan untuk menghadkan bilangan agensi yang membekalkan buruh mesti disiasat secara terperinci oleh Kerajaan BN - PN kerana hal itu telah menjatuhkan nama baik negara di mata dunia.


"Imej Malaysia tercemar dari segenap peringkat, tempatan dan antarabangsa. Dakwaan sebegini terhadap Bestinet bukanlah baru, pada Ogos 2018 Kerajaan Pakatan Harapan pernah menggantung operasi Bestinet, namun masih tiada makluman lengkap laporan siasatan daripada pihak berautoriti.


"Apabila beberapa dakwaan dikemukakan tanpa ada jawapan yang meyakinkan, ianya akan semakin melebarkan defisit kepercayaan kepada Kerajaan Malaysia hari ini. Siasatan menyeluruh perlu dijalankan segera termasuklah terhadap rangkaian syarikat perniagaan yang terkait.


"Kerajaan perlu memberikan mesej jelas terhadap kesungguhan politik dalam menangani isu ini dengan ditambah laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat yang menurunkan kedudukan Malaysia ke Tahap Tiga Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021, tahap yang paling rendah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Ahli Parlimen Kapar itu lagi, kegagalan untuk bertindak segera hanya akan memperjudikan nasib pekerja tempatan apabila kurangnya minat pelabur asing untuk menanam modal akibat ketidaktelusan sistem tenaga kerja.


Tambahan pula, katanya, negara maju seperti Amerika Syarikat telah menyekat sesetengah produk Malaysia daripada dipasarkan dengan alasan mengamalkan buruh paksa dan hal itu amat merugikan pasaran eksport negara.


"Mana mungkin perkara sebegini dibiarkan berterusan tatkala negara sedang berdepan dilema masalah pengangguran yang cukup kritikal dengan kadar pengangguran kira-kira 687,600 orang pada Disember 2021.


"Mengambil kira urusan pengambilan pekerja asing yang berpotensi dimanipulasi sebegini rupa demi mengaut keuntungan dan mengurangkan kos, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia digesa untuk turut menyiasat dengan tegas kebarangkalian syarikat yang melanggar Seksyen 60M dan 60N Akta Kerja 1955 bagi memastikan nasib pekerja tempatan terus terbela," katanya lagi.


Terdahulu, agensi buruh di Dhaka, Bangladesh, menuduh pengasas Bestinet mempengaruhi kerajaan untuk hanya menghadkan bilangan agensi membekalkan buruh kepada 25 syarikat sahaja.


Sehubungan itu, Ketua Pembangkang Parlimen Malauysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan penuh terhadap dua syarikat iaitu Bestinet dan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dalam perolehan kontrak kerajaan.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER