top of page

Kerajaan MADANI tidak pernah lulus lesen judi baharu - MOF

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 minutes ago
  • 2 min read

Kerajaan MADANI tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu serta tidak menambah bilangan premis perjudian sejak mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022.


Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan jumlah lesen dan permit yang masih berkuat kuasa ketika ini adalah berdasarkan kelulusan lesen sedia ada sejak 1990-an.


"Kerajaan MADANI tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu dan tidak menambah bilangan kedai perjudian baharu.


"Jumlah lesen dan permit yang berkuat kuasa kekal berdasarkan jumlah kelulusan lesen sedia ada sejak tahun 1990-an," katanya dalam kenyataan hari ini.


MOF berkata penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu lesen judi di negeri berkenaan yang disifatkan mengelirukan kerana memberi gambaran seolah-olah Kerajaan MADANI tidak mengawal aktiviti perjudian atau meluluskan lesen baharu bagi menambah bilangan premis perjudian.


Kementerian itu turut mengingatkan bahawa sepanjang pentadbiran Kerajaan Persekutuan dari 2020 hingga 2022 yang turut merangkumi Pas, tidak pernah ada sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada.


MOF berkata berdasarkan rekod, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) pada 2020 memutuskan untuk menurunkan bilangan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun.


Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada 2020 kemudian memutuskan untuk meningkatkan atau mengembalikan semula kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun.


"Selepas Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022, keputusan terawal waktu itu adalah untuk membatalkan peningkatan tersebut dan menurunkan semula kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023," katanya.


Menurut MOF, kementerian itu turut menetapkan syarat ketat kepada pemegang lesen sebagai langkah mengawal aktiviti perjudian berlesen.


Terdahulu, Muhammad Sanusi berkata tanggungjawab untuk meluluskan atau tidak lesen perjudian di Kedah selepas ini terletak kepada MOF selepas kerajaan negeri gagal mempertahankan tindakannya menghalang pengeluaran dan pembaharuan lesen premis perjudian di mahkamah.


Beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hanya mengeluarkan lesen premis selepas pengusaha memperoleh kelulusan untuk menjalankan aktiviti perjudian daripada MOF.


"Sekarang bola telah tertendang kepada MOF, bola berada di tangan Menteri Kewangan yang kena tentukan. Kita tengok dia nak ‘score’ gol atau nak ‘score’ gol sendiri kerana Menteri Kewangan yang bertanggungjawab untuk tidak meluluskan lesen judi di Kedah," katanya pada Sesi Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah, Selasa lalu.


Sanusi turut berkata kerajaan negeri sebelum ini sudah memaklumkan MOF mengenai pendiriannya untuk tidak lagi mengeluarkan lesen premis dan meminta kementerian itu supaya tidak mengeluarkan lesen perjudian bagi premis terbabit selepas lesen terdahulu tamat pada 2022.


Isu itu kembali menjadi perhatian selepas Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu menolak permohonan kerajaan Kedah mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan.


Panel tiga hakim turut memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.


Keputusan itu mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang mendapati tindakan kerajaan negeri berkenaan melangkaui batas kuasa negeri kerana perkara berkaitan perjudian berada di bawah bidang kuasa Persekutuan.


MOF menegaskan kerajaan akan terus mengehadkan aktiviti perjudian berlesen selain memperketat kawal selia dan tindakan terhadap perjudian tanpa lesen serta perjudian dalam talian.


"Kerajaan MADANI terus mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memastikan kawal selia yang ketat serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page