Kerajaan MADANI Selangor Gagal Mentadbir, Teliti Dahulu
- Redzuan Shamsudin

- 3 minutes ago
- 4 min read

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Belanjawan Negeri Selangor untuk tahun 2026 telah dibentangkan oleh YAB Datuk Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor, belanjawan tersebut membawa tema “Selangor Juara, Rakyat Sejahtera”.
Namun sebelum belanjawan tersebut sempat dibentangkan di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor pada 14 November 2025, Mohamed Sukri Omar selaku Ketua Pemuda Pas Selangor telah melabelkan Kerajaan Madani Selangor gagal membela nasib rakyat Selangor berdasarkan perkembangan capaian Rancangan Selangor Pertama (RS-1), dan bajet tahunan sebelum ini. Mohamed Sukri menganggap perancangan dan belanjawan oleh Kerajaan Madani Selangor hanyalah sekadar kosmetik dan janji yang akhirnya menyerlahkan kelemahan dan kegagalan.
Kesejahteraan kualiti hidup era PKP
Terdapat empat isu utama yang dibangkitkan oleh Mohamed Sukri terkait kegagalan perancangan pentadbiran Kerajaan Madani Selangor, isu pertama adalah terkait rakyat Selangor tidak sejahtera dari sudut kualiti hidup. Isu tersebut dibangkitkan oleh Mohamed Sukri menggunakan data Indeks Kesejahteraan Sosial yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2021 dan 2022.

Indeks tersebut melaporkan berlaku penurunan kesejahteraan sebanyak 0.7% pada ketika itu, namun penurunan itu tidak hanya berlaku kepada Negeri Selangor malah seluruh Malaysia. Negara pada ketika itu baru sahaja selesai menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memakan masa hampir 2 tahun (18 Mac 2020 - 1 April 2022), tekanan dikurung dan hilang pekerjaan hampir dua tahun tidak hanya membebani rakyat Negeri Selangor malah seluruh Malaysia. Jika ada pihak yang perlu dipersalahkan atas kemerosotan Indeks Kesejahteraan Sosial, maka pihak yang perlu bertanggungjawab adalah Kerajaan Perikatan Nasional yang gagal mengendalikan PKP dengan sebaiknya.
Kos sara hidup meningkat
Isu kedua yang dibangkitkan oleh Mohamed Sukri adalah terkait rakyat Selangor yang bergelut dengan tekanan kos sara hidup yang terus meningkat. Beban rakyat digambarkan bertambah rumit apabila program kerajaan untuk membantu rakyat miskin tidak signifikan dan gagal menangani beban ekonomi.
Dakwaan tersebut terlalu subjektif untuk dijawab kerana secara jujurnya sudah pasti ada kumpulan kecil yang mungkin ketinggalan untuk diberi perhatian dalam setiap perancangan pentadbiran Kerajaan Madani Selangor. Namun secara faktanya Kerajaan Madani Selangor diakui sebagai kerajaan negeri yang paling banyak membangunkan program bantuan rakyat.
Perkara ini dapat dilihat melalui kesemua 46 program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang memberi perhatian kepada isu-isu kesejahteraan rakyat (perumahan, keusahawanan, pendidikan, sara hidup). Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor yang bermula dengan 10 program bantuan pada tahun 2008, kini telah dikembangkan kepada 46 program bantuan. Malah pada masa hadapan telah dinyatakan komitmen oleh Kerajaan Madani Selangor untuk meningkatkan lagi program bantuan bagi membantu lebih banyak kelompok masyarakat di Negeri Selangor.
Rumah mampu milik menjadi keutamaan
Isu ketiga yang dibangkitkan oleh Mohamed Sukri adalah terkait lambakan rumah berharga tinggi yang tidak mampu dibeli oleh rakyat di Negeri Selangor. Mohamed Sukri dalam isu ini mengakui bahawa Kerajaan Madani Selangor pada ketika ini sedang merancang membina 186,637 unit rumah mampu milik.
Justeru tuduhan bahawa Kerajaan Madani Selangor hanya memberi tumpuan kepada projek perumahan berharga tinggi adalah tidak benar. Kerajaan Negeri Selangor adalah kerajaan negeri pertama di Malaysia yang membangunkan program perumahan mampu milik atas nama “Rumah Selangorku”. Program tersebut berjaya dan mendapat sambutan sehingga modelnya mula diubahsuai oleh kerajaan persekutuan sehingga wujudnya program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA).
Setiap belanjawan dan perancangan RS-1 tidak akan ketinggalan untuk memperuntukkan dana bagi membina rumah mampu milik untuk dimiliki oleh rakyat yang kurang kemampuan. Malah Kerajaan Madani Selangor melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mewajibkan pemaju untuk memperuntukkan 30% daripada projek perumahan yang bakal dibangunkan untuk perumahan mampu milik. Segala usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Madani Selangor sehingga kini menyaksikan 41 196 unit rumah mampu milik telah siap dibina untuk dimiliki oleh rakyat yang layak.
Masalah bekalan air, banjir ditangani kerajaan
Isu terakhir yang dibangkitkan adalah terkait gangguan air yang diakibatkan oleh pencemaran sumber air di Negeri Selangor. Digambarkan bahawa Kerajaan Madani Selangor sentiasa lambat untuk memberi bantuan apabila masalah berkaitan ganguan air dan bencana alam (banjir) muncul di Negeri Selangor.
Namun hakikatnya Kerajaan Madani Selangor sentiasa bersedia setiap tahun dengan memperuntukkan dana untuk bencana alam, mitigasi banjir dan pengurusan risiko alam sekitar. Dana tersebut telah ditingkatkan daripada RM34.27 juta (2025) kepada RM54.34 juta (2026).
Menggunakan dana tersebut rakyat yang ditimpa musibah mampu dibantu dengan pantas (kurang 3 hari dari hari dilanda musibah), bantuan mampu mencecah nilai RM 10,000 (bergantung kepada kecelakaan yang ditanggung). Kerajaan Madani Selangor juga mewujudkan Pasukan Tindakan Segera (Skuad PANTAS) yang bertindak sebagai barisan hadapan terawal untuk pelbagai situasi kecemasan, terutama ketika berlaku bencana alam atau kejadian luar jangka.
Skuad PANTAS mampu bertindak kurang dari 12 jam apabila sesuatu bencana berlaku kerana pasukan ini wujud di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor. Skuad PANTAS dalam skala pentadbiran negeri hanya wujud di Selangor, tiada negeri lain di Malaysia yang mempunyai pasukan seperti Skuad PANTAS yang mampu bertindak dalam kadar segera apabila sesuatu musibah melanda.
Secara kesimpulannya, kritikan yang membina daripada pelbagai pihak untuk menambahbaik perkhidmatan Kerajaan Madani Selangor adalah sangat dialu-alukan. Namun kritikan yang tidak disertakan dengan fakta perlulah dielakkan supaya kritikan tersebut tidak bertukar kepada tohmahan.
Mohamed Sukri seharusnya lebih proaktif menilai perancangan pentadbiran Kerajaan Madani Selangor sebelum melemparkan sebarang kritikan. Jika dibandingkan pentadbiran Kerajaan Madani Selangor dengan negeri-negeri yang ditadbir oleh Pas, sudah pasti perbezaannya seperti langit dengan bumi. Pasti ada kelemahan dalam setiap perancangan Kerajaan Madani Selangor, maka tegurlah dengan niat memperbaiki dan bukannya memburukkan.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor









Comments