top of page

Kerajaan MADANI sedia stok ikan depani fenomena El Nino

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
12 hours ago
1 min read
DS Mohamad Sabu memeriksa keterjaminan bekalan ikan di pasar
DS Mohamad Sabu memeriksa keterjaminan bekalan ikan di pasar

Kerajaan MADANI mengambil langkah awal bagi menangani fenomena El Nino diramal berlaku mulai Disember ini.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagi menampung keperluan rakyat, pihaknya mula menyediakan stok simpanan ikan sejuk beku yang dijangka mampu bertahan sehingga lapan bulan.


"Apabila laut menjadi panas, ikan yang berada di tepi pantai akan bergerak ke tengah. Keadaan ini menyebabkan hasil tangkapan mungkin berkurangan, sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan.


"Kita kena bersedia daripada sekarang, dengan pihak kementerian bersama agensi berkaitan akan melihat langkah yang perlu diambil berdasarkan keadaan semasa," katanya dipetik.


Mohamad berkata begitu menerusi ucapan perasmian Program Himpunan Semarak Tani Bersama Nelayan Melaka di Taman Panglima Pak di Merlimau pada Rabu.


Beliau turut menjelaskan, fenomena El Nono dijangka memberi kesan lebih ketara di Utara Semenanjung, khususnya Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.


"Kita harap El Nino tidak membawa masalah besar, namun sekiranya berlaku, tindakan akan diambil mengikut aduan nelayan dan keadaan pada waktu itu.


"Sabah dan Sarawak diramalkan kurang menerima kesannya, tetapi kita tetap perlu berwaspada kerana cuaca sekarang tidak menentu," tambahnya.


Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, KPKM sentiasa bekerjasama dengan persatuan nelayan bagi memastikan kebajikan golongan itu terus terpelihara, termasuk melalui pengagihan semula keuntungan daripada aktiviti berkaitan industri perikanan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page