Kerajaan MADANI sedia peluang alternatif bantu rakyat hilang pekerjaan
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI sedang mengambil tindakan susulan bagi membantu rakyat yang berdepan kehilangan pekerjaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menyediakan pekerjaan alternatif memandangkan terdapat banyak peluang baharu terutamanya bagi anak muda dan perkara tersebut sudah dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
"Ya kita dah bawa suara mereka (rakyat yang kehilangan pekerjaan) ke MTEN dan dalam tempoh seminggu dua, saya ambil langkah-langkah memperbaiki dan menyediakan pekerjaan alternatif.
"Hal ini, sebab ada peluang pekerjaan baharu yang kita harus salurkan supaya ada sinergi di antara pelaburan baharu yang masuk terutama di Pantai Barat, di Perak, Pulau Pinang, Kulim Hi Tech (Kedah), Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
"Itu tumpuan dan sekarang ada perkembangan baharu juga di Sarawak. Jadi dalam tempoh satu ke dua minggu ini akan ada satu perkara lain untuk memulihkan dan menyediakan beberapa peluang pekerjaan baharu, terutama bagi anak-anak muda," katanya dipetik.
Perdana Menteri berkata begitu ketika ditemui di Permatang Pauh semalam sebagai mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengenai 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu.
Sementara itu menurut beliau, peluang pekerjaan baharu kini banyak tertumpu kepada bidang teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI).
Justeru tambahnya, sekiranya ada keperluan, kerajaan akan memberikan latihan khas untuk membolehkan mereka yang terbabit masuk ke sektor tersebut.




Comments