Kerajaan MADANI pertimbang TVET untuk golongan OKU
- Suara Keadilan

- Sep 5
- 1 min read

Kerajaan MADANI sedang mempertimbangkan usaha untuk memperluaskan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) serta sekolah pondok.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) sambil menjelaskan, usaha itu bagi memberi peluang sama rata kepada golongan berkeperluan khas.
"Sesuatu yang agak berlainan pada kali ini adalah cadangan supaya TVET diadakan khusus untuk golongan OKU, dan saya akan bawa perkara ini ke Majlis TVET.
"Saya juga akan kemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk dijadikan sebagai salah satu agenda di dalam ucapan Belanjawan pada 10 Oktober ini.
"Yang penting, masyarakat OKU dan golongan istimewa ini harus diberikan peluang yang sama rata dan kursus-kursus yang bersesuaian dengan cita rasa mereka dan juga bertepatan dengan kehendak pasaran," katanya dipetik.
Ahmad Zahid berkata begitu pada Sesi Dialog Belanjawan 2025 yang diadakan bersama Sesi Dialog Belanjawan 2026 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) secara tertutup di Putrajaya pada Khamis.
Sesi itu menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Pandangan serta input yang diterima bakal disalurkan kepada Pasukan Belanjawan Kementerian Kewangan.
Sementara itu tambahnya, cadangan bagi membuka institusi TVET maritim di Pantai Timur bagi memenuhi keperluan setempat turut dikemukakan pada sesi itu.
"Yang paling menarik ialah apabila tadi kawasan Pantai Timur mereka mohon supaya kursus TVET Maritim diadakan, iaitu bersesuaian dengan ekosistem yang ada di negeri-negeri Pantai Timur.
"Ini terutamanya untuk mempertingkatkan kemampuan penglibatan anak-anak muda di dalam maritim, ertinya bukan hanya sebagai nelayan kecil-kecilan tetapi nelayan laut dalam di mana mereka menjadi usahawan, mereka diberikan latihan TVET dalam bidang kelautan," katanya.









Comments