top of page

Kerajaan MADANI perkasa peranan Seniman Kota - Dr Zaliha

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 minutes ago
  • 2 min read

DS Zaliha menegaskan Kerajaan Madani melakukan yang terbaik mengiktiraf seniman di ibu kota
DS Zaliha menegaskan Kerajaan Madani melakukan yang terbaik mengiktiraf seniman di ibu kota

Kerajaan MADANI komited untuk terus mengiktiraf peranan penggiat seni di Kuala Lumpur, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.


Beliau berkata, ibu kota tidak hanya terbina daripada batuan dan konkrit, sebaliknya turut diasaskan oleh seni, budaya, bahasa dan kreativiti rakyatnya.


"Untuk mencapai hasrat ini, Kerajaan MADANI memerlukan para seniman kota terus berkarya dan terus mewarnai bandar raya Kuala Lumpur," katanya dipetik.


Sebagai penghargaan terhadap sumbangan golongan itu, gelaran Seniman Jalanan kini rasmi ditukar kepada Seniman Kota berkuatkuasa serta-merta.


"Ini adalah pengiktirafan kepada seniman kota yang menjadi salah satu segmen rakyat penting dalam pembangunan dan ekonomi negara," ujar Dr Zaliha menerusi hantaran di media sosial.


Terdahulu, beliau menghadiri Temu Rapat dan Bengkel Pemantapan Seniman Kota Kuala Lumpur 2025 di Dewan Komuniti Sentul Perdana.


Sementara itu bagi menghidupkan ekosistem seni dan memeriahkan kawasan Warisan KL, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jelasnya akan membuka lima tapak baharu khusus untuk Seniman Kota berkarya.


Kawasan berkenaan merangkumi Jejak Pahlawan di Bulatan Dato’ Onn, dua tapak berhampiran River of Life, Lanai Seni serta Medan Pasar.


"Lokasi-lokasi ini mempunyai potensi besar sebagai pusat aktiviti seni kerana berada dalam kawasan tumpuan pelancong dan rekreasi. Seni harus kembali mewarnai ruang awam Kuala Lumpur tetapi dengan susunan yang teratur dan harmoni," tambah Dr Zaliha.


Beliau turut mengumumkan langkah bagi memperkukuh peranan Seniman Kota menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi tiga langkah baharu yang akan dilaksana DBKL termasuk pengecualian bayaran permit kepada Seniman Kota yang layak sepanjang tahun 2026.


Selain itu, imej dan profesionalisme golongan terbabit terus diperkukuh menerusi penajaan t-shirt rasmi Seniman Kota yang disediakan melalui Persatuan Karyawan dengan tajaan PEKEMA dan penajaan caruman PERKESO selama setahun bagi Seniman Kota berdaftar pada 2026.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page