top of page

Kerajaan MADANI lulus RM5.5 juta untuk Ambulans Laut Langkawi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read
DS Amir Hamzah pada majlis penyerahan peralatan kesihatan oleh MOF. Foto: FB HSM
DS Amir Hamzah pada majlis penyerahan peralatan kesihatan oleh MOF. Foto: FB HSM

Kerajaan MADANI terus berusaha memperkukuh akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan kecemasan yang lebih pantas dan efisien.


Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan, Kementerian Kewangan (MOF) telah memberi peruntukan sebanyak RM5.5 juta bagi pelaksanaan Ambulans Laut Langkawi untuk kemudahan komuniti dan pelancong.


Beliau berkata, peruntukan tersebut bagi pembelian dan kos operasi awal operasi ambulan laut yang bakal dikendalikan Hospital Sultanah Maliha (HSM) bermula awal tahun depan.


"Pada masa ini, pemindahan pesakit dari Langkawi ke hospital rujukan di tanah besar masih bergantung kepada perkhidmatan feri penumpang.


"Keadaan semakin mencabar apabila kekerapan perkhidmatan feri dikurangkan sekali gus mengehadkan pilihan perjalanan terutama dalam situasi kecemasan yang memerlukan pemindahan segera," katanya dipetik laporan media.


Amir Hamzah ditemui pemberita pada majlis penyerahan peralatan kesihatan berjumlah RM700,000 oleh MOF kepada HSM pada Ahad.


Berhubung sumbangan peralatan kesihatan itu, Amir Hamzah berkata ia bertujuan memperkukuh kapasiti HSM dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan lebih cekap, moden dan berkualiti kepada penduduk Langkawi serta jutaan pelancong yang berkunjung ke pulau itu setiap tahun.


Beliau yang juga Pengerusi Bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) berkata antara peralatan itu termasuk berkaitan kesihatan, teknologi maklumat (IT), perabot, kenderaan dan sistem keselamatan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page