Kerajaan MADANI bertindak awal hadapi krisis tenaga global - PM
- Azuan Ab Rahman

- Apr 22
- 1 min read

Kerajaan MADANI tidak akan berpeluk tubuh dalam mendepani krisis global yang semakin kompleks kesan dari serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di akaun rasminya menekankan, setiap langkah yang dilaksanakan kerajaan adalah terarah dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Langkah tersebut jelasnya bagi Malaysia kekal bersedia, berdaya tahan serta tidak terdedah kepada kejutan bekalan tenaga.
"Dalam keadaan geopolitik Asia Barat yang kian meruncing dan tidak menentu, kerajaan bertindak lebih awal dan berwaspada dengan mengukuhkan jaringan kerjasama bersama rakan yang diyakini seperti Oman demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa dilindungi," katanya.
Hantaran itu susulan kunjungan hormat Pengerusi National Gas Company SAOG Oman, Sh Abdulla Suleiman Hamed Al Harthy kepada Anwar di Putrajaya pada Selasa.
Pertemuan tersebut juga bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama strategik serta meneroka peluang pelaburan baharu yang mampu menjamin kestabilan bekalan tenaga negara.
"Langkah memperluas kerjasama perdagangan minyak dan gas asli cecair ini bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan strategik bagi memastikan rantaian bekalan tenaga negara kekal stabil, sekali gus mengelakkan tekanan kos yang boleh membebankan rakyat dan perniagaan," tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan.




Comments