top of page

Kerajaan MADANI baiki perkara asas rakyat, bukan projek mega semata

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 33 minutes ago
  • 2 min read
DS Anwar ketika berceramah pada Majlis Pengumuman Calon PH PRN N Sembilan. Kredit foto: FB Mat Sabu
DS Anwar ketika berceramah pada Majlis Pengumuman Calon PH PRN N Sembilan. Kredit foto: FB Mat Sabu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keutamaan Kerajaan MADANI bukan hanya membawa masuk pelaburan bernilai tinggi atau membangunkan sektor teknologi canggih, sebaliknya memastikan kemudahan asas yang digunakan rakyat setiap hari turut diberi perhatian.


Beliau berkata, pembangunan negara perlu dirasai secara langsung oleh rakyat melalui penambahbaikan kemudahan asas seperti tandas sekolah, kuarters polis, kuarters tentera dan kediaman warga FELDA yang telah lama uzur.


Menurutnya, kemajuan sesebuah negara tidak boleh diukur semata-mata melalui kewujudan pusat data (data centre), kecerdasan buatan (AI) atau pelaburan berbilion ringgit, sedangkan kemudahan asas masih diabaikan.


"Kita boleh bercakap tentang AI, data centre dan pelaburan besar, tetapi tandas sekolah anak-anak kita masih rosak. Itu tidak boleh dibiarkan.


"Sebab itu apabila saya mengambil alih pentadbiran, perkara pertama yang saya lihat ialah keadaan sekolah, kuarters pasukan keselamatan dan kemudahan asas rakyat," katanya pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan Ke-16, malam tadi.


Anwar berkata, kerajaan telah meluluskan hampir RM1 bilion bagi membaik pulih lebih 4,000 tandas sekolah di seluruh negara selepas mendapati banyak kemudahan itu berada dalam keadaan daif.


Selain itu, katanya, kerajaan turut memperuntukkan ratusan juta ringgit setiap tahun bagi membaik pulih kuarters polis di seluruh negara, termasuk penempatan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan kawalan sempadan di Sabah yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.


Beliau berkata, usaha sama turut dilaksanakan terhadap kuarters anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi kerja-kerja membaik pulih rumah sedia ada serta pembinaan kediaman baharu demi menjaga kebajikan anggota keselamatan negara.


Dalam sektor FELDA pula, Anwar berkata kerajaan meluluskan peruntukan RM450 juta bagi membaik pulih rumah dan kuarters pegawai yang telah lama rosak, selain mengambil langkah menyelesaikan pelbagai isu kebajikan peneroka.


Menurut beliau, pendekatan tersebut mencerminkan keutamaan Kerajaan MADANI yang memberi fokus kepada penyelesaian masalah sebenar rakyat dan bukannya hanya mengejar projek-projek berskala besar.


"Ini bukan janji pilihan raya. Ini adalah rekod pelaksanaan. Pembangunan yang sebenar ialah apabila rakyat dapat melihat dan merasai sendiri perubahan dalam kehidupan mereka," ujarnya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page