Kerajaan luncur program MyChipStart, lonjak keupayaan dalam semikonduktor
- Suara Keadilan

- Apr 11
- 2 min read

Kerajaan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih tinggi dalam rantaian nilai semikonduktor, tegas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.
Menurutnya, usaha tersebut dilaksana menerusi pelbagai inisiatif termasuk program MyChipStart, yang bertujuan memupuk syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) tempatan, berteraskan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
"Reka bentuk IC merupakan bidang yang sangat kompleks dan berintensifkan modal, melibatkan peralatan automasi reka bentuk elektronik (EDA) yang mahal, tenaga kerja mahir serta kos tinggi untuk merealisasikan cip daripada konsep kepada prototaip, yang boleh mencecah sehingga US$100 juta (US$1 = RM3.98).
"Ini menjadi cabaran besar bagi syarikat pemula niaga," katanya dipetik selepas melancarkan program MyChipStart di Auditorium Murad Mohd Noor, di George Town pada Jumaat.
Program tersebut tambahnya dilaksanakan mengikut Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan peruntukan tahunan sekitar RM17 juta bagi menyokong syarikat tempatan di pelbagai peringkat pembangunan, daripada idea hingga pengesahan dan pengujian.
Ia bukan sekadar inisiatif pembiayaan, tetapi juga intervensi strategik nasional untuk mengurangkan halangan kemasukan, memangkinkan pelaburan domestik dan memperkukuh rantaian bekalan semikonduktor negara.
"Sokongan merangkumi akses kepada perisian EDA yang mahal serta kemudahan bersama di Penang Silicon Design @5km+ yang terletak di Bayan Lepas.
"Syarikat perlu melalui proses penilaian termasuk pembuktian konsep serta daya maju pasaran sebelum menerima sokongan tersebut," tambahnya.
Sementara itu menurut Sim, Malaysia pada masa ini hanya mempunyai kira-kira 20 hingga 30 syarikat reka bentuk IC, sekali gus menunjukkan keperluan untuk mengembangkan ekosistem dan mewujudkan lebih banyak juara tempatan dalam sektor tersebut.
"Matlamat kita adalah untuk membina generasi juara semikonduktor tempatan yang baharu, dan ketika ini Malaysia masih banyak bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor semikonduktor. Kita perlu meningkatkan pemilikan harta intelek (IP) domestik bagi memastikan daya saing jangka masa panjang.
"Apabila memiliki IP, kita memastikan kekayaan yang dijana oleh bakat Malaysia kekal di dalam negara dan mengukuhkan kedudukan kita dalam industri semikonduktor global," katanya.




Comments