Kerajaan lindung peniaga tempatan atas talian dengan cukai LVG 10%
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan mengenakan cukai 10% ke atas barangan import bernilai rendah (LVG) mulai 1 Januari 2024 bagi memastikan persaingan antara peniaga tempatan dan luar negara di platform atas talian lebih adil.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan amat memahami kebimbangan peniaga tempatan berhubung persaingan yang timbul melalui kemasukan barangan import menerusi platform atas talian.
"Pelaksanaan ini menutup jurang cukai sedia ada di mana barangan di bawah nilai tersebut yang diimport sebelum ini tidak dikenakan cukai jualan, sedangkan barangan tempatan tertakluk kepada cukai tersebut.
"LVG juga memastikan semua barangan sama ada tempatan atau diimport dikenakan layanan cukai yang setara sekaligus mewujudkan ‘level playing field’ kepada peniaga tempatan.
"Ini bermakna pengguna di Malaysia tidak lagi melihat barangan import yang dulunya tidak tertakluk kepada cukai jualan lebih murah semata-mata disebabkan oleh faktor cukai jualan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai langkah kerajaan bagi memastikan peniaga tempatan lebih berdaya saing dalam portal e-dagang, termasuk sama ada terdapat sebarang insentif cukai, geran padanan atau program pendigitalan untuk memperkasakan industri tempatan.
Menurut Amir Hamzah lagi, layanan ‘level playing field’ itu memberi jaminan kepada peniaga tempatan bersaing secara adil berdasarkan kualiti, nilai dan perkhidmatan yang ditawarkan, bukan sekadar aspek harga semata-mata.
Melalui pendekatan itu ujarnya, kerajaan memastikan bahawa peniaga tempatan tidak dibebani secara tidak adil, malah diberikan sokongan daripada sudut kos pengeluaran, sambil memastikan barangan import tertakluk kepada mekanisme cukai yang setara dan adil.
"Pelaksanaan LVG dan Cukai Perkhidmatan ke atas Perkhidmatan Digital Luar Negara (STODS) merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan untuk memperkukuhkan pematuhan cukai dalam ekonomi digital yang semakin berkembang dan kompleks," ujarnya lagi.









Comments