Ahli Parlimen Merbok, Nurin Aina menyeru kerajaan Kedah agar lebih sensitif dan bertimbang dalam menyelesaikan isu pemindahan serta pengazetan zon penampan tapak arkeologi Sungai Batu, Merbok.
Menurut Nurin, tapak arkeologi itu telah diiktiraf dunia sebagai lebih tua berbanding Borobudur di Indonesia atau Angkor Wat di Cambodia dan menjadi tapak tamadun paling awal di Asia Tenggara.
Katanya, penyelidikan di tapak itu telah mengangkat 12 pelajar menyelesaikan pendidikan peringkat Master dan 5 orang peringkat Doktor Falsafah (PhD) serta 6 yang lain dalam peringkat menyelesaikan tesis Master dan PhD.
Oleh itu, katanya, sebarang isu berbangkit di tapak itu perlu diselesaikan dengan kaedah 'menang-menang'.
"Ini merupakan sumbangan besar pendidikan melalui penyelidikan mencerakinkan fakta sejarah yang amat berharga. Tapak arkeologi mesti dilihat sebagai sesuatu entiti kekal, tidak boleh diperbaharui, selain nilainya tinggi dan amat sensitif. Maka, suatu yang amat wajar untuk para penyelidik ini diberikan ruang yang seluasnya tanpa halangan untuk meneruskan kerja-kerja menggilap usaha-usaha mengangkat Sg Batu dan Lembah Bujang sebagai lokasi 'archaeotourism' di peringkat dunia.
"Dalam memastikan keadilan menimbangtara berita yang tular, saya pun mengunjungi ke setiap rumah penduduk berdekatan tapak arkeologi tersebut bertanyakan khabar dan pandangan. Terdapat 11 buah rumah dan rata-ratanya dihuni oleh ahli keluarga dari kalangan terdekat.
"Isu ketidakpuasan hati timbul apabila ada cadangan mengalihkan jalan keluar dari tapak warisan, dan dibina yang baru di atas tanah kerajaan sebagai langkah memelihara tapak warisan dari sebarang gangguan. Namun lokasi jalan baru ini memerlukan lokasi kontena para pengkaji yang telah berada di situ sejak 2018 dipindahkan.
"Melihat dilema ini, perlu ada keputusan 'win-win situation'. Sebenarnya telah ada sebatang jalan yang diusahakan oleh penduduk kampung tetapi masih belum siap sepenuhnya. Saya ingin mencadangkan jalan ini dijadikan alternatif penyelesaian dilema antara penduduk kampung dan tapak arkeologi. Kerajaan Negeri boleh mendapatkan pandangan dan mengadakan perbincangan konstruktif dengan penduduk kerana penglibatan mereka amat penting dalam membuat keputusan jangka masa panjang," katanya dalam satu kenyataan.
Nurin juga mencadangkan zon penampan yang akan diwujudkan antara tapak arkeologi tersebut dan rumah penduduk dijelaskan dalam sempadan yang tetap dan digazetkan agar tidak menjadi pertikaian pada masa hadapan.
"Saya difahamkan Kerajaan Negeri tidak bercadang memindahkan penduduk bahkan telah mengarahkan Pejabat Daerah Kuala Muda dan mengumumkan seluas 278.7 meter persegi akan diplotkan untuk didiami oleh keluarga yang tidak mempunyai tapak rumah. Persoalan saya berapakah keluasan munasabah plot tersebut dan adakah keseluruhan plot tanah ini akan diberikan hanya kepada bilangan penduduk kampung sediada atau kepada orang luar selain dari penduduk asal?
"Tapak warisan dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) seperti dalam takrifan yang memerlukan zon penampan. Kerajaan Negeri juga menyatakan untuk mengadakan zon penampan bagi menjarakkan tapak warisan dan rumah penduduk. Namun, ingin saya tegaskan perlu diperhatikan juga kedudukan rumah penduduk sedia ada yang telah pun berada dalam zon penampan agar tidak berlaku pertikaian di masa hadapan.
"Saya amat menghargai usaha dari setiap individu atau kumpulan yang berusaha menyokong pembangunan di Sungai Batu. Saya akan terus konsisten mengangkat isu ini di Dewan Rakyat yang mulia dan saya juga sangat yakin bahawa kesungguhan serta keazaman politik (political will) mesti diterjemahkan untuk mengangkat tamadun Sungai Batu ke persada dunia," katanya lagi.
Comments