Kerajaan jamin tempat pelajar Orang Asli cemerlang sambung pengajian
- Suara Keadilan

- Apr 26
- 1 min read

Kerajaan MADANI menjamin tempat untuk pelajar Orang Asli yang meraih keputusan cemerlang 5A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) (IPMA).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau juga telah mengarahkan Pengarah MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya memastikan pelajar Orang Asli berkenaan diberikan biasiswa 100 peratus untuk melanjutkan pelajaran ke IPMA.
"Ini adalah keprihatinan kerajaan Madani di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
"Saya membantu terjemahkan pelaksanaannya pada seluruh kumpulan masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Santuni Kasih Syawal di Kampung Orang Asli Sungai Kroh pada Jumaat.
Majlis dihadiri lebih 1,000 masyarakat Orang Asli dari seluruh Perak turut disertai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor, Asyraf Wajdi.
Seramai 1,932 pelajar Orang Asli telah menduduki peperiksaan SPM di seluruh Semenanjung Malaysia pada tahun lalu. Daripada jumlah itu, 87 pelajar berjaya mencatat keputusan 5A ke atas
Daripada jumlah itu pula, dua pelajar berjaya memperoleh keputusan 9A, 8A (13), 7A (11), 6A (22), serta 5A (39).
Sementara itu tambah Ahmad Zahid, pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan 5A dan ke bawah pula akan diberikan peluang melanjutkan pelajaran di mana-mana institusi pendidikan dibawah MARA.
Manakala laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus untuk Orang Asli turut diwujudkan bagi memastikan mereka turut menjadi sebahagian daripada sumber manusia berkemahiran di negara ini.









Comments