Kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan komuniti Cina di Malaysia dalam pembangunan sosio-ekonomi negara terutama sektor ekonomi, pendidikan dan perindustrian, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga menyanjung tinggi peranan usahawan Cina di Malaysia dan di peringkat global kerana memikul tugas memacu ekonomi tempatan dan antarabangsa.
"Dalam dunia penuh kerumitan dan ketidakstabilan, ketidaktentuan serta ketidakpastian yang semakin meningkat, usahawan Cina di seluruh dunia boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam melindungi kerjasama ekonomi serantau, memastikan keselamatan rantaian bekalan penting dan mempromosikan agenda pembangunan sosio-ekonomi global kita.
"Dari Asia Tenggara ke Asia Timur, Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dan Afrika, usahawan Cina telah bekerjasama rapat dengan semua pihak dan telah meletakkan asas untuk menjalin hubungan perniagaan dan ekonomi yang lebih mendalam dan kukuh merentas sempadan negara," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Usahawan Cina Sedunia ke-17 di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama menteri-menteri Kabinet, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur WCEC Ke-17, Tan Sri Low Kian Chuan.
WCEC Ke-17 yang berlangsung selama tiga hari, bermula semalam menghimpunkan lebih 4,000 usahawan tempatan dan luar negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta komuniti usahawan Cina tempatan dan antarabangsa memberi pandangan serta nasihat untuk meningkatkan persekitaran ekonomi yang kondusif di Malaysia, dalam usaha menarik pelaburan dan memacu inovasi.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan ekonomi Malaysia pada hari ini dikecapi hasil kerjasama pelbagai kaum dengan menjadikan ia sebagai kekuatan.
Di bawah dasar ekonomi Madani, beliau berkata kerajaan memberikan jaminan untuk terus mengutamakan dan memperkukuhkan landskap ekonomi.
"Kami membuat dasar, namun anda yang nasihatkan kami apa lagi yang perlu dilakukan untuk memupuk persekitaran yang kondusif bagi pelaburan dan inovasi.
"Kami di sini bukan untuk mengatakan yang sistem dan dasar sedia ada sempurna. Kami di sini untuk mentadbir dan belajar serta membuat penjajaran yang diperlukan kerana fundamentalnya tetap adalah kemajuan ekonomi.
"Hanya melalui kejayaan ekonomi, anda boleh memastikan adanya perumahan, pendidikan, kemudahan kesihatan dan infrastruktur yang lebih baik untuk rakyat kita.
"Inilah yang dimaksudkan dengan inklusif, dasar yang bukan saja membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi malah jelas prihatin dan mementingkan kebajikan rakyat," kata beliau.
Anwar menjelaskan, bagi menghidupkan ekonomi ia mesti bermaksud mengambil kira perniagaan besar, sederhana dan kecil, sama ada di bandar atau di luar bandar.
"Saya sekali lagi mengingatkan kepada pemimpin perniagaan agar dapat memberikan sokongan kepada kerajaan dan polisi yang dilaksanakan untuk menangani kebajikan rakyat," ujarnya lagi.
コメント