Kerajaan BN dinasihatkan agar tidak mengambil jalan singkat mengatasi krisis kenaikan harga, terutama berkaitan menstabilkan harga ayam.
Mantan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata cadangan Perdana Menteri baru baru ini untuk mengimport 200 kontena ayam sejuk beku bukanlah penyelesaian yang baik.
Katanya, hal itu akan menyulitkan lagi penternak ayam tempatan yang telah bergelut dengan kos input makan haiwan atau dedak serta kekurangan pekerja.
"Kos pengeluaran negara lain lebih rendah kerana mereka berskala raksasa.
"Misalnya di China mereka menternak sehingga 10 juta ayam tetapi di Malaysia jarang ladang ayam menternak sehingga sejuta ekor
"Pengimportan ayam sejuk beku yang berharga murah akan menyebabkan ramai penternak rugi besar dan lingkup. Ini akan menjejaskan industri penternakan ayam negara pada jangka masa panjang.
"Maka, pengimportan Ayam sejuk beku adalah “Short term gain, long term pain” bagi Malaysia," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru itu lagi, Malaysia terlalu bergantung kepada barangan import dan menjejaskan food security negara. Hal itu, katanya tidak boleh ditambah dengan pengimportan ayam pula
"Malaysia sekarang mengimport lebih RM50 bilion makanan dari luar negara. Sikap "import lebih mudah" inilah yang menyebabkan industri pertanian negara selama ini tidak maju. Nasib rakyat pula terlalu bergantung kepada negara lain. Ini amat merbahaya.
"Saya ingin menyeru kerajaan jangan mengamalkan cara short cut. Tetapi lebih tumpu kepada meningkatkan produktiviti dan menurunkan cost of production para penternak khususnya penternak ayam dalam isu ini," katanya.
Justeru beliau mencadangkan agar pendekatan pemberian insentif dilakukan dalam kes harga ayam.
"Cadangan saya untuk jangka masa pendek, ialah memberikan insentif pengeluaran (output based subsidies) untuk para penternak, supaya mereka boleh meningkatkan produktiviti. Dengan peningkatan produktiviti, maka supply akan meningkat, maka harga akan turun.
"Insentif pengeluaran padi telah lama dilaksanakan untuk meningkatkan pengeluaran padi. Cara ini boleh diguna pakai untuk sektor pertanian seperti penternakan ayam.
"Buat masa sekarang pengeluaran 1 bulan ayam adalah sebanyak 130,000 metrik tan.
"Saya mencadangkan subsidi RM500 satu metrik tan diberikan kepada para penternak supaya mereka meningkatkan pengeluaran mereka. Kerajaan hanya perlu membelanja RM65 juta sebulan," katanya lagi.
Tambah Sim, insentif tersebut boleh dikaji semula selepas harga pasaran kembali normal.
Pada jangka masa panjang, katanya kerajaan harus membantu para penternak meningkatkan produktiviti dengan transformasi daripada open house ke close house, mengurangkan kos input seperti dedak, pekerja, tanah dan utiliti.
Comments