Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) tidak wajar dibentang apatah lagi diuluskan oleh kerajaan darurat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, RMK-11 yang berakhir pada tahun 2020 perlu diteruskan dengan pelan ekonomi yang dirancang dan digubal oleh kerajaan yang berwibawa, berintegriti serta memperolehi mandat rakyat.
"Wawasan 2020 berakhir tahun lepas bersama-sama berakhirnya RMK-11. Ini menjadikan RMK-12 suatu rancangan pembangunan yang penting.
"RMK-12 mestilah digubal, dirangka, dirancang dengan teliti oleh sebuah kerajaan awam yang berwibawa. Kerajaan minoriti Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin Yassin yang bergayut untuk terus berkuasa di bawah darurat tidak mempunyai autoriti moral membentangkan RMK-12.
"Lebih-lebih lagi RMK-12 perlu dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan. Dalam keadaan Parlimen digantung bermakna Kerajaan PN yang ada sekarang mengorbankan rancangan pembangunan lima tahun itu semata-mata untuk terus berkuasa.
"Perlu disebut bahawa Kerajaan Darurat yang menggantung Parlimen tidak ada mandat untuk meluluskan RMK-12," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, menurut Hassan, Pakatan Harapan (PH) perlu bersiap sedia merangka pelan pembangunan RMK-12 sekiranya berlaku perubahan kerajaan atau pun Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dalam masa terdekat.
"Dalam keadaan seperti ini, maka adalah tanggungjawab para pemimpin utama PH supaya tidak membuang masa dan mesti bersiap sedia mengembleng tenaga pakar ekonomi mereka untuk merangka dasar bayangan RMK-12.
"Tugas para pemimpin utama PH ialah memberi harapan kepada lebih 32 juta rakyat Malaysia. Fenomena di media sosial yang menyaksikan warga netizen meluahkan rasa tidak puas hati kepada PM Muhyiddin dan kerajaan PN tidak boleh menjadikan para pemimpin utama PH goyang kaki. Kritikan dan cemuhan terhadap Muhyiddin tidak akan boleh menjatuhkan kerajaan darurat itu dengan mudah.
"PH sekarang perlu mengemukakan apa dasar ekonomi mereka. Bagaimana peluang pekerjaan baru mahu dihasilkan bagi mengatasi masalah pengangguran lebih sejuta rakyat. Ini bukan mudah. Perlu dibentuk majlis pemikir di bidang sosio-ekonomi untuk memberi input dan nasihat kepada PH. Sekaranglah masanya menjemput golongan bijak pandai, ahli intelektual di universiti atau yang telah bersara untuk sama-sama menyelamatkan negara," katanya lagi.
Ingatan berkenaan, kata Hassan lagi, bertujuan agar PH lebih bersedia sekiranya berjaya kembali ke Putrajaya untuk tidak mengulangi sejarah kelam pentadbiran Tun Mahathir Mohamad yang gah pada awalnya tetapi bermasalah untuk memenuhi janji politik selepas beberapa bulan berkuasa.
"Maka jangan jadi pisang berbuah dua kali seperti Perdana Menteri dari Langkawi yang terkejut kerana menang dan jadi kerajaan. Beliau ingatkan manifesto yang PH ketengahkan semasa PRU 14 itu sengaja direka untuk menabur janji kepada rakyat. Lalu PM ke-7 itu menganggap manifesto PH bukannya kitab suci. Ertinya janji manifesto boleh dimungkiri. Inilah antara punca kejatuhan kerajaan PH.
"Justeru, pemimpin PH jangan berlengah lagi mencari penyelesaian bagaimana untuk menarik kembali pelabur asing ke Malaysia, meningkatkan penarafan kewangan negara, melahirkan pekerja bergaji tinggi, memulih harga komoditi utama negara dan mengurangkan kadar kemiskinan juga jurang kemajuan antara Semenanjung dengan Malaysia Timur," katanya lagi.
Pemimpin PH, kata Hassan, perlu memberi harapan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kehidupan mereka dan negara akan dapat dipulihkan serta lebih baik daripada di bawah Kerajaan darurat PN sekarang.
Comments