Meskipun perbincangan tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) agar Malaysia menjadi tuan rumah menganjurkan Sukan Komanwel 2026 banyak mendapat kritikan daripada netizen di laman sosial, namun masih wujud sisi positif yang boleh dipertimbangkan kerajaan.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN Kemaman, Ahmad Nadhir Yop, penganjuran sukan berprestij seperti itu boleh menaikkan imej Malaysia yang agak bermasalah di peringkat antarabangsa sejak beberapa tahun lalu.
"Bila CGF menawarkan bantuan 100 juta pound (kira-kira RM601 juta) bantuan untuk Malaysia anjur Sukan Komanwel, jadi KEADILAN Kemaman berpandangan kerajaan harus mempertimbangkan tawaran ini untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026
"Hal ini apabila sesebuah negara menganjurkan sukan peringkat antarabangsa, ia akan membantu meningkatkan ekonomi negara dan menaikkan imej di mata dunia
"Kita pernah jadi penganjur pada 1998. Kita ada pengalaman," katanya.
Bagaimanapun, kata Ahmad Nadhir, terpulang kepada pertimbangan kerajaan berdasarkan situasi ekonomi semasa negara.
Katanya, polisi penjimatan dan keadaan kewangan perlu dipertimbangkan meskipun tawaran kewangan daripada CGF menarik.
"Ia bergantung kepada keputusan kerajaan. Bergantung kepada sejauh mana kekuatan kewangan negara. KEADILAN Kemaman berpendangan kerajaan perlu mempertimbangkan tawaran CGF ini bagi membuka lebih banyak ruang positif untuk negara," katanya lagi.
Sebelum ini, pemenang bidaan menganjurkan Sukan Komanwel edisi ke 23, badar raya Victoria, Australia telah menarik diri pada Julai tahun lepas kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).
Isnin lepas, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan CGF menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 bagi menggantikan Victoria yang menarik diri.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat Rabu lepas berkata keputusan sama ada Malaysia akan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 atau tidak, akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.
Comments