Operasi "Op Hire" yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah berjaya menyelamatkan sebanyak RM426 juta dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).
Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud memberitahu, beberapa siri tangkapan dan pendakwaan telah dijalankan SPRM sejak 9 Januari lalu susulan operasi tersebut.
Malah pihak kementerian jelasnya akan terus membuat semakan untuk menjejaki mana-mana majikan tidak bertanggungjawab yang telah membuat tuntutan palsu ke atas dana program PenjanaKerjaya.
Pemantauan juga akan dilakukan terhadap latihan di bawah program PenjanaKerjaya yang dipohon bersama penyedia latihan seperti latihan yang tidak bertepatan dengan skop pekerjaan dan latihan bercanggah dengan latar belakang syarikat.
"Tindakan analisis permohonan majikan juga dibuat sekiranya majikan memohon jumlah pekerja yang terlalu ramai bagi program PenjanaKerjaya mengikut parameter seperti permohonan tidak bertepatan dengan saiz industri, permohonan tidak seiring dengan keperluan industri, dan permohonan tidak sesuai dengan latar belakang syarikat," kata Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah itu.
Mustapha sebelumnya ditemui media selepas majlis penyerahan Geran Bantuan Perkeso Kepada Institusi dan Badan-badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) 2023 di Putrajaya.
Pada 21 Jan lepas, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata seramai 74 individu ditahan dan 61 buah syarikat disiasat di bawah Ops Hire.
Syarat longgar yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini dalam mendapatkan dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) diambil kesempatan oleh syarikat tertentu untuk mengemukakan dokumen-dokumen yang mengandungi maklumat pekerja dan program latihan palsu.
Setakat 19 Januari 2023, seramai 27 individu telah didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 melibatkan keseluruhan tuntutan palsu adalah RM4.92 juta.
Media dalam laporan mereka menganggarkan sebanyak RM87.9 juta telah diselewengkan.
Sementara itu Mustapha berkata Perkeso juga telah membuat penambahbaikan ke atas parameter dan kriteria kelayakan bagi setiap program PenjanaKerjaya bagi memastikan hanya pihak yang benar-benar layak sahaja mendapat kelulusan bagi menerima dana tersebut.
Comentarios