Pelarasan tangga gaji pensyarah, profesor serta penjawat awam akan dilaksana menerusi Belanjawan Madani kedua yang akan dibentangkan di Parlimen, bulan depan, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu sebagai langkah sementara sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam diselesaikan.
Bercakap dalam program Temu Anwar Johor Bahru di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru pada Ahad, Anwar berkata kajian skim gaji dan persaraan penjawat awam itu dijangka selesai dilakukan pada tahun hadapan.
"Saya lihat pelarasan gaji pensyarah, profesor dan penjawat awam sudah 10, 12 tahun tidak dikaji, tidak dinaikkan.
"Padahal mengikut peruntukan, setiap 10 tahun perlu ada pelarasan (gaji), tandas bocor kerja saya, gaji pun kerja saya, saya tidak boleh mengadu, saya Perdana Menteri kena selesaikan semua masalah ini," katanya dipetik.
Program Temu Anwar yang berlangsung kira-kira sejam setengah iti dihadiri hampir 4,000 pelajar, pendidik dan orang awam. Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi danNaib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.
Pada program itu Anwar turut menyentuh beberapa perkara, termasuk politik fitnah yang dakwanya cuba diterap segelintir pemimpin politik.
Sambil menyarankan generasi muda menolak budaya politik seperti itu, Anwar turut menegaskan sikap ditonjolkan segelintir pemimpin politik khususnya pembangkang tidak sesuai diikuti generasi muda yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara nanti.
"Orang lama asyik hendak gaduh sahaja, fitnah. Fikir sendiri, fikirkan sesuatu untuk selamatkan negara ini.
"Anak muda perlu mengubah naratif politik dan ekonomi negara ini kerana merekalah yang boleh menyelamatkan negara," katanya.
Comments