Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan perincian semakan semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 dalam waktu terdekat.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kabinet telah bersetuju berhubung semakan SOP Covid-19 dan Ketua Pengarah Kesihatan dijangka mengumumkan perkara berkenaan.
Semakan itu merangkumi tiga perkara iaitu perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO), pemakaian pelitup muka dan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan susulan dunia kini sudah memasuki fasa hidup bersama virus COVID-19 dan ke arah meneruskan kehidupan seperti biasa.
"Sebagai contoh, dahulu HSO lima hari berada di rumah (positif Covid-19) dan perlu kemas kini gejala dalam MySejahtera. Apabila semakan semula (SOP) nanti, ia mungkin berubah. Kita tunggu perincian daripada ketua pengarah nanti.
"Dengan cara itu, ia adalah satu era bermulanya kita menganggap Covid-19 seperti virus lain. Dulu kita beranjak dari transisi pandemik ke endemik. Sekarang kita mahu keluar daripada transisi endemik kepada hidup dengan virus," katanya dipetik.
Dr Dzulkefly sebelumnya merasmikan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Kementerian Kesihatan 2024 bertemakan ‘Ubah Minda, Cegah Penyakit Berkaitan Pemakanan’ di Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu.
Mengulas mengenai program yang dirasmikan itu beliau menjelaskan, ia bertujuan mengubah minda dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengamalkan pemakanan sihat bagi mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) berkaitan pemakanan.
Kempen itu susulan prevalen semasa NCD di negara ini sangat membimbangkan dengan hasil tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan prevalen obesiti dan berat badan berlebihan meningkat kepada 54.5 peratus tahun lepas berbanding 50.1 peratus pada 2019.
コメント